fbpx

Haiwan korban hanya untuk tujuh bahagian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bolehkah kami beberapa belas orang berkongsi korban seekor kambing
atau pun satu bahagian lembu?

Jawapan:
Seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta boleh dijadikan korban untuk seorang individu sahaja.

Kadar ini telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW seperti yang termaktub dalam hadis:

“Kami menyembelih korban bersama Rasulullah SAW pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah. Seekor unta untuk tujuh (bahagian) dan seekor lembu untuk tujuh (bahagian). (Riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis ini, seekor lembu atau unta untuk tujuh bahagian. Satu bahagian hanyalah untuk seorang.

Seseorang boleh mengambil lebih daripada satu bahagian, tetapi seekor lembu atau unta tidak dibolehkan untuk dikongsi lebih daripada tujuh orang.

Jika menggunakan wang kutipan untuk korban yang diberikan oleh lebih dari tujuh orang, maka itu berbeza dengan apa yang disyariatkan dalam hadis tersebut.

Cara penyelesaiannya, mungkin boleh dilakukan dengan rela sebahagian mereka meniatkan wang itu sebagai pemberian atau hadiah kepada tujuh orang sahaja dalam kumpulan tersebut.

Maka, tujuh orang itu menggunakan wang itu dengan niat korban untuk diri mereka.

Maka, tujuh orang tersebut mendapat pahala korban, sedangkan pihak menyumbang tadi mendapat pahala membantu orang yang ingin melakukan ibadah itu.

Dengan ini, sekurang-kurangnya terdapat kalangan mereka yang dapat melakukan korban. Namun, hendaklah hal itu berlaku dengan ikhlas.

Adapun seorang ketua keluarga, dia boleh melakukan korban seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta untuk dirinya dan seluruh keluarga yang di bawah tanggungannya.
Ini seperti termaktub dalam hadis:

“Daripada ‘Ata bin Yasar, beliau berkata: “Aku telah bertanya Abu Ayyub al-Ansari tentang bagaimana udhiyah (ibadah korban) pada zaman Rasulullah SAW? Kata Abu Ayyub al-Ansari: “Pada masa itu (perlaksanaanya) seorang lelaki melakukan ibadah korban dengan seekor kambing untuk dirinya dan untuk ahli keluarganya. Mereka makan dan memberikan orang lain makan”. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Albani menilai hadis ini sebagai sahih).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN