MELAKA – Kes Macau Scam di Melaka semakin membimbangkan apabila mencecah kerugian RM4.4 juta dalam tempoh enam bulan sejak awal tahun ini.
Perkara itu dedahkan Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah yang memaklumkan kes Macau Scam di negeri ini telah meningkat sebanyak lima peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu.
“Pada 2021 kita rekodkan 304 kes, namun tahun ini jumlah meningkat kepada 320 kes dalam tempoh sama iaitu sejak Januari sehingga Jun lalu.
“Situasi ini adalah membimbangkan, malah sehingga Jun lalu jumlah kerugian telah mencecah RM4.4 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Pride Of Workmanship di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, antara kes Macau Scam direkodkan adalah membabitkan pinjaman wang, pelaburan tidak wujud serta pembelian atas talian.
“Susulan itu juga kita akan menggerakkan kempen kesedaran kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar untuk memberi pendedahan mengenai modus operandi sindiket ini.
“Ini termasuklah penerangan khususnya mengenai penipuan menerusi panggilan telefon serta iklan dalam dalam talian atau laman sosial yang meragukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














