RASANYA tidak perlu diperkenalkan siapa Hun Haqeem di mata umum lebih-lebih lagi melihat kepada bakat lakonan semula jadi yang menjalar subur dalam pembuluh darahnya.
Memasuki pentas lakonan usai tamat latihan industri dalam bidang perhubungan awam tiga tahun lalu, mungkin rezeki dan takdirnya bergelar anak seni sudah tertulis rapi.
Satu demi satu naskhah yang diberi teraju utama dibawanya dengan begitu cemerlang hingga ke hari ini.
Graf lakonan yang menyumbang kepada popularitinya juga semakin hari semakin baik. Cantik perjalanannya, tidak turun dan tidak juga terlalu mendatar.
Jarang juga namanya terpalit dengan kontroversi mahupun isu remeh yang boleh membusukkan reputasi. Kalau ada pun, cuma tempias dari mulut-mulut orang.
Bertahun menghayun langkah sebagai pelakon, siapa sangka Hun juga mempunyai bakat sebagai seorang penyanyi.

– IHSAN ASTRO
Dilamar
Mengakui pernah dilamar beberapa komposer ternama negara, Hun sentiasa menyimpan kemas hasrat untuk melancarkan sebuah lagu sendiri kelak.
Lamaran yang pernah diterima sebelum ini bagaimanapun terpaksa ‘diperam’ atau kata lain, dilupakan sementara waktu kerana sifat pemalu dan kurang yakin yang bersarang dalam diri.
“Saya sentiasa ada niat dan perancangan untuk mulakan kerjaya nyanyian, tetapi masih ada rasa malu-malu.
“Jujur, sejak kecil saya dibesarkan dalam kalangan keluarga yang sukakan muzik.
“Sebelum ini pun ada komposer pernah lamar saya seperti Audi Mok dan saya juga ada cipta lagu sendiri.
“Mungkin tahun depan akan lancarkan single pertama. Doakan saya untuk tidak malu.
“Untuk lagu pertama ini mungkin saya anggap sebagai hobi dan sekadar suka-suka sahaja. Kalau dapat sambutan, mungkin saya akan lebih serius sebagai penyanyi nanti,” katanya.
Tambah Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, sebenarnya demo lagu sendirinya juga sudah lama siap, tetapi disimpan sahaja buat masa ini.

Gementar, kecaman
Sama seperti ketika memulakan kerjaya lakonan sejak 2019 lalu, begitu jugalah yang perlu dilalui kelak. Jejaka berusia 24 tahun ini mengakui perasaan gementar bercampur takut dan teruja dalam menerima reaksi peminat usai pelancaran lagu tersebut nanti.
Sedia menerima kecaman, Hun dalam masa sama berjanji akan berusaha memperbaiki teknik nyanyian dengan mengikuti kelas vokal sebelum lagu nyanyiannya dilancarkan.
“Tidak kisah dengan kecaman ataupun kata-kata negatif. Saya buat apa yang saya suka.
“Lagu tersebut nanti sekadar buah tangan saya berkongsi dengan peminat dan saya langsung tak pernah letakkan diri sebagai seorang penyanyi profesional.
“Kalau orang suka, saya amatlah bersyukur, tetapi jika sebaliknya, saya akan cuba perbaiki kelemahan yang ada dari semasa ke semasa.
“Saya percaya, kalau nak jadi penyanyi kenalah usaha keras sikit seperti mengikuti kelas vokal dan lain-lain,” ujarnya.

Bertuah, mengarah
Tutup ceritera mengenai nyanyian, Hun yang amat sinonim menerusi watak Jekfer menerusi naskhah komedi popular Kampung People turut mempunyai keinginan bergelar sutradara satu hari nanti.
Kata Hun, minatnya dalam bidang pengarahan mula berputik sejak menyertai dunia lakonan dan mula belajar selok-belok sebagai seorang pengarah ketika berada di set.
“Kalau ikutkan saya pernah sekali diberi peluang jadi pengarah bersama Michael Ang dan Kamal Adli dalam drama Sihir sebanyak 20 episod November tahun lalu.
“Semasa dilamar agak terkejut juga. Ingatkan mereka main-main dan sekadar bergurau. Saya rasa begitu bertuah kerana dapat rasa pengalaman tersebut di usia muda,” katanya.
Ujarnya, pengalaman berharga tersebut jugalah yang menjadi penguat semangat buat dirinya untuk terus bertatih dalam bidang pengarahan.
Menutup bicara, sedikit mengenai perkembangan terbaharu kerjayanya, Hun juga sedang tampil dalam drama berjudul Hantu Raya Pergi Perang menerusi aplikasi sooka.















