PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan hujan lebat serta ribut petir dijangka berlaku di lima negeri menjelang malam ini.
MetMalaysia dalam laporan cuacanya hari ini berkata, cuaca buruk itu dijangka berlaku di Terengganu melibatkan daerah Dungun dan Kemaman.
“Hujan lebat juga dijangka melanda Pahang termasuk daerah Lipis, Raub, Bentong dan Rompin.
“Selain itu, keadaan cuaca buruk juga sedang berlaku di Kuala Lumpur dan dijangka beransur reda awal malam ini,” katanya.
Sementara itu, hujan lebat dan ribut petir juga dijangka melanda Kelantan di kawasan Jeli, Tanah Merah, Machang dan Gua Musang.
Jelas MetMalaysia, keadaan cuaca yang sama turut berlaku di Sarawak melibatkan Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong (Pusa), Sarikei, Sibu dan Bintulu (Sebauh).
Tambahnya, di Sabah pula keadaan hujan lebat dan ribut petir bakal melanda di daerah Pedalaman (Beaufort), Pantai Barat (Papar), Sandakan (Beluran) dan Kudat. – KOSMO! ONLINE














