fbpx
SEORANG peniaga menyusun buah mangga Mandi di sebuah gerai di Bangalore pada 6 Mei lalu. - AFP

Pengeluaran buah mangga India merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW DELHI – India berdepan dengan krisis kekurangan bekalan buah mangga pada tahun ini dengan anggaran 80 peratus tanaman itu rosak akibat fenomena gelombang haba sepanjang Mac dan April lalu, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Pokok mangga ditanam di sekitar 1.2 juta hektar tanah di seluruh negara itu, yang menghasilkan lebih 1,500 jenis buah tersebut.

Ia merangkumi kira-kira 55 peratus daripada pengeluaran mangga di dunia, yang menjadikan India sebagai negara pengeluar utama bagi buah itu.

Bagaimanapun pada tahun ini, sebanyak 80 peratus tanaman itu dianggarkan rosak akibat gelombang haba pada Mac dan April lalu, yang telah memusnahkan bunganya selain hujan tidak menentu telah mendorong serangga perosak membiak di kawasan kebun.

“Saya tidak pernah melihat kuantiti pengeluaran buah mangga berkurang sehingga ke tahap ini bagi sepanjang hidup saya.

“Setiap musim akan terdapat sedikit penurunan dalam pengeluaran mangga, namun kali ini adalah luar biasa,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Mangga Seluruh India, Insram Ali.

Musim mangga di India kebiasaannya berlangsung selama 100 hari, dari hujug Mac hingga Jun.

Tambah Insram, kawasan tanamannya iaitu di Malihabad dalam negeri Uttar Pradesh, adalah popular bagi mangga Dussehri, sejenis mangga yang digemari kerana rasanya yang manis serta buahnya yang berjus dan licin.

Namun menurutnya, hanya sebahagian kecil daripada pengeluaran tahunan akan tumbuh pada tahun ini.

“Setiap tahun, Uttar Pradesh akan menghasilkan empat ke lima juta tan metrik buah mangga. Namun kali ini, kami menjangkakan tidak lebih daripada 700,000 tan.

“Tanaman mangga telah menjadi ‘mangsa’ kepada perubahan iklim,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang saintis dari Universiti Pertanian Pusat Dr. Rajendra Prasad di negeri Bihar, Abdus Sattar berkata, kesan-kesan daripada suhu melampau pada bulan Mac dan April serta didorong oleh beberapa faktor lain telah memusnahkan kebun-kebun dan buah-buahan.

“Suhu amat tinggi yang disusuli dengan kelembapan tinggi pada Mei disebabkan oleh hujan berterusan dan sekejap-sekejap telah menjadi salah satu faktor penyumbang dalam pembiakan serangga perosak tanaman mangga.

“Makhluk perosak dikenali sebagai ulat mangga berjalur merah menembusi buah mangga dan memakan biji benih, seterusnya merosakkan buah itu dan membuatkannya gugur lebih awal,” jelasnya.

Di India, buah mangga bukan sekadar sejenis tanaman utama, bahkan ia dianggap sebagai alat diplomasi, simbol status dan sering menjadi perlambangan dalam puisi-puisi. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI