KANGAR – “Adik, tolong mak”
Demikian kata-kata terakhir seorang wanita warga emas, Hatun Osman, 66, yang sempat meminta tolong anaknya, Muhammad Fitri Rosli, 29, selepas sebahagian bumbung rumah mereka di Kampung Behor Temak di sini dihempap pokok kelapa, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Hatun yang menghidap kanser pangkal rahim tahap empat disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat sesak nafas kerana terkejut dengan insiden tersebut.
Semasa kejadian, mangsa sedang tidur di katil yang terletak di ruang tamu manakala suaminya, Rosli Mat Akhir, 66, pula tidur di sofa bersebelahan.
Menurut Muhammad Fitri, ketika kejadian dia sedang bercakap di telefon di ruang dapur rumah.
“Pada mulanya saya terdengar bunyi seperti ada orang baling batu di bumbung sebelum tiba-tiba sebahagian bumbung runtuh akibat dihempap pokok kelapa yang tumbang.
“Pokok itu tumbang di kawasan tempat mak tidur menyebabkan saya terus berlari mahu menyelamatkan mak. Pada masa itu saya hanya dengar mak meminta tolong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, tidak lama kemudian, dia sudah tidak lagi mendengar suara ibunya sebelum didapati tidak sedarkan diri seterusnya disahkan telah meninggal dunia oleh petugas hospital.
“Kami bersyukur kerana ayah selamat kerana dia tidur di sofa dan hanya cedera ringan pada kening,” ujarnya.
Menurut Muhammad Fitri, dia tidak mengesan sebarang perubahan pada tingkah laku ibunya selain memintanya makan bersama pada malam sebelum kejadian.
Sementara itu, Rosli berkata, isterinya menghidap kanser sejak lebih setahun lalu dan hanya boleh berjalan dengan menggunakan tongkat.
“Walau bagaimanapun, dalam masa seminggu ini dia nampak macam sihat sedikit daripada biasa. Tak sangka pula dia akan pergi.
“Semasa kejadian berlaku, tidak ada angin atau ribut, mungkin sudah tiba masa dia pergi dan kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














