PETALING JAYA – Kegagalan melunaskan hutang pinjaman yang tinggi akibat tidak mempunyai baki simpanan mencukupi mengakibatkan seramai 287,411 individu di negara ini diisytiharkan bankrap setakat bulan Mac tahun ini.
Lebih membimbangkan apabila mereka yang disenaraikan sebagai muflis terdiri daripada individu muda yang masih bekerja.
Pegawai Insolvensi Utama Bahagian Kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Zarina Alias berkata, berdasarkan statistik MdI, Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu seramai 71,659 individu diikuti Kuala Lumpur dengan 45,630 individu.
Katanya, dua golongan utama yang paling ramai disenarai muflis adalah pekerja swasta serta peniaga dan mereka ini berumur 35 hingga 44 tahun iaitu merangkumi 37.32 peratus.
“Mereka yang berumur 34 tahun ke bawah juga menunjukkan peratusan yang agak tinggi iaitu 22.13 peratus
“Kumpulan ini dilihat berisiko tinggi untuk menjadi bankrap sekiranya mereka tidak merancang perbelanjaan dari awal,” katanya pada sesi webinar secara dalam talian baru-baru ini.
Menurut Zarina, kebankrapan ialah satu proses undang-undang di mana dengan perintah mahkamah, seseorang itu akan diisytiharkan bankrap dan hartanya terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) untuk dibahagikan kepada pemiutang sebagai bayaran dividen.
“Individu yang diisytiharkan bankrap akan diletakkan di bawah pengawasan KPI yang akan mentadbir dan mengendalikan semua aset yang dimiliki oleh individu berkenaan untuk membayar semua hutang yang sedia ada,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pelbagai faktor mempengaruhi seseorang individu terjebak kepada keadaan beban hutang yang tinggi sehingga tidak mempunyai baki simpanan mencukupi untuk melunaskan segala bayaran.
“Antara sebabnya adalah pinjaman peribadi, sewa beli kenderaan, pinjaman perniagaan dan beberapa pinjaman lain bagi tujuan meneruskan hidup.
“Ramai individu yang mengambil keputusan untuk membuat pinjaman peribadi bagi mendapatkan wang dalam kadar segera dan masalah menjadi lebih serius apabila mereka gagal menguruskan wang tersebut menyebabkan terjerat dengan komitmen bulanan yang tinggi,” katanya lagi.
Menurutnya, antara tips bagi mengelak menjadi bankrap adalah dengan mengamalkan perbelanjaan mengikut keperluan, bijak dalam menguruskan hutang, amalkan budaya menabung serta waspada membuat pinjaman.
Beliau juga menasihatkan setiap individu untuk mengetahui status kewangan semasa diri untuk mengelakkan daripada gagal membayar balik pinjaman.














