PETALING JAYA – Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ramai pasangan jarak jauh (PJJ) terjebak dengan hubungan seks secara virtual bagi memuaskan nafsu selepas sukar untuk bertemu akibat sekatan pergerakan.
Bagaimanapun, aktiviti yang dikenali sebagai ‘virtual love’ itu telah menyebabkan mereka mengalami ketagihan untuk terus melakukannya biarpun sudah boleh kerap berjumpa dan tinggal sebumbung.
Selain suami isteri, terdapat pasangan kekasih yang terjebak dengan gejala tidak bermoral itu.
‘Virtual love’ adalah aktiviti tidak bermoral yang dilakukan melalui panggilan video dengan melihat adegan panas pasangan masing-masing selain berkongsi klip video atau gambar lucah.
Mendedahkan perkara itu, Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, ada pelanggannya yang mendapatkan kaunseling terdiri daripada mereka yang ketagih ‘virtual love’.

Menurutnya, kebanyakan pasangan adalah mereka yang tinggal berjauhan atau PJJ.
“Kebanyakan mereka mengadu sekatan pergerakan PKP sebelum ini telah membataskan pertemuan dan hubungan intim antara suami isteri yang tinggal berjauhan.
“Justeru, mereka mengambil jalan mudah dengan melampiaskan nafsu masing-masing menerusi ‘virtual love’ selepas memuat naik aplikasi di telefon bimbit.
“Akibatnya, mereka telah mengalami ketagihan dengan aktiviti itu walaupun sudah boleh bertemu,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Dr. Fauziah memberitahu, pasangan suami isteri yang tinggal sebumbung juga terjebak dengan aktiviti tersebut sehingga menimbulkan pelbagai masalah dalam rumah tangga.
Katanya, ada pasangan yang sengaja duduk di bilik berasingan semata-mata mahu melakukan ‘virtual love’ walaupun berada di dalam rumah yang sama.
“Amat menghairankan bagaimana pasangan yang tinggal sebumbung turut terjebak dengan aktiviti ini, sedangkan mereka adalah suami isteri yang sah dan bebas untuk melakukan hubungan seks secara normal.
“Mungkin terpengaruh dengan budaya barat atau trend dalam media sosial yang menyebabkan mereka ingin mencuba perbuatan itu sehingga menjadi ketagih,” ujarnya.
Katanya, ada juga pasangan suami isteri yang terjebak dengan ‘virtual love’ kini sudah bergolak rumah tangga mereka dan hampir bercerai apabila salah seorang pasangan tidak dapat menikmati hubungan intim secara fizikal.
“Ada isteri yang mengadu suaminya ‘dingin’ dan tidak bernafsu untuk melakukan seks secara fitrah dan lebih suka hubungan secara virtual.
“Apabila isteri tidak berpuas hati dengan tindakan suami itu, maka rumah tangga mereka mula bergolak dan akhirnya menuju ke fasa perceraian.
“Ada juga yang mengadu tidak dapat melakukan hubungan seks secara fizikal kerana mengalami kecederaan alat kelamin akibat ‘virtual love’,” ujarnya.
Justeru, beliau menasihatkan pasangan terbabit segera menghentikan aktiviti itu sebelum rumah tangga mereka runtuh. -KOSMO! ONLINE
















