fbpx
Ina menangis ketika menceritakan pengalamannya sebagai gelandangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini. – AMIR KHALID

Sambut raya di kaki lima selepas dibuang anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ketika orang ramai gembira hendak balik kampung halaman pulang beraya, keadaan berbeza dengan golo­ngan gelandangan di ibu kota.

Sebahagian mereka sudah tidak mempunyai keluarga, ada yang dibuang anak tetapi gembira tinggal di tepi kaki lima me­nyambut Aidilfitri nanti dengan cara mereka sendiri.

Seorang wanita warga emas yang dikenali sebagai Ina, 60-an, berkata kepada Kosmo! Ahad, setiap tahun dia berdoa dan berharap agar keempat-empat anaknya mengambilnya kembali.

Jelas Ina, sudah lebih 20 tahun dia hidup sebagai seorang gelandangan setelah anak-anaknya membuangnya kerana tidak mahu menjaganya lagi.

“Aidilfitri kali ini, sama sahaja, saya berdoa agar Tuhan buka dan lembutkan hati anak-anak saya untuk ambil saya
atau jumpa saya walaupun sekejap.

“Saya tiada siapa di sini, hanya sebatang kara, hidup pun hasil bantuan daripada orang ramai, saya memang setiap hari berdoa agar keempat-empat anak saya yang duduk di Pahang untuk membawa saya pulang duduk bersama mereka,” katanya.

Tambahnya, setiap tahun dia melihat orang ramai bersama keluarga menyambut perayaan, membuatkan dia sedih menge­nangkan nasib malang yang me­nimpa dirinya itu.

Seorang lagi gelandangan yang mahu dikenali Emilita, 41, berkata, sudah lima tahun dia tidak je­jakkan kaki ke kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

Tambah ibu kepada lima orang anak itu, dia sudah menjadi ­gelandangan kira-kira 10 tahun akibat muflis daripada perniagaan.

Sebahagian gelandangan memilih baju yang didermakan oleh orang ramai.

“Rindu tu ada hendak balik kampung, tetapi apakan daya belanja besar balik Sabah,” ujarnya sudah menjadi gelandangan kira-kira 10 tahun akibat muflis daripada perniagaan.

Emilita masih mempunyai ibu bapa di Sabah dan mempunyai 12 adik-beradik.

Sementara itu, seorang lelaki dikenali sebagai Jalani, 55, berkata, hari raya sama sahaja buat dirinya setiap tahun.

Menurutnya, setelah dibuang kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, dia kini mengisi perutnya hasil sum­bangan makanan daripada orang ramai.

“Saya di sini tiada siapa, ibu bapa pun dah meninggal dunia, saya tidak berkahwin, adik-beradik pun sudah ada keluarga mereka.

“Saya langsung tidak pernah terfikir akan menjadi gelandangan, tapi sudah ketentuan Tuhan seperti ini, saya terima sahaja takdir ini. Sudah dua tahun saya ber­ada di sini,” katanya.

Jelasnya, hidup sebagai gelandangan sekurang-kurangnya mampu memberi dia kebahagiaan untuk bersama rakan-rakannya yang lain.

Seorang lagi gelandangan yang mahu dikenali sebagai Manja, 50-an, berkata, dia yang sudah menjadi gelandangan lebih enam tahun memaklumkan dia lebih suka beraya bersama keluarga gelandangannya di sini.

Katanya, dia yang mempunyai tiga orang anak berasakan sudah tidak mempunyai sesiapa lagi di kampung halamannya.

“Tiada guna lagi nak balik kampung di Rompin, Pahang, bukannya ada sesiapa lagi, sambut raya di sini lebih meriah.

“Suami pun dah meninggal dunia, anak-anak pun ada ­kehidupan mereka sendiri di sini, ada ramai kawan-kawan buatkan saya lebih gembira,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN