PERMINTAAN terhadap panjut buluh tradisional terus diterima setiap kali menjelang Aidilfitri, apatah lagi pada tahun ini apabila sudah dua tahun sambutan perayaan tersebut tidak diraikan dengan penuh kemeriahan ekoran pandemik Covid-19.
Di sebalik keceriaan pelbagai jenis lampu elektronik berwarna-warni serta panjut moden yang diubah suai, masih ada individu-individu yang memilih cara lama iaitu menggunakan panjut buluh.
Panjut buluh tradisional yang membangkit nostalgia ini masih menjadi pilihan sesetengah orang bagi memeriahkan Aidilfitri.
Dua jenis panjut buluh iaitu enam sumbu dan sembilan sumbu dengan saiz antara 0.5 hingga satu meter bersama ‘kakinya’ untuk memudahkan panjut dipasang
———————————————————————————————————————————————————————————————-
PEMASANGAN panjut atau pelita setiap kali menjelang Aidilfitri merupakan tradisi masyarakat Melayu bagi memeriahkan sambutan perayaan penuh keindahan itu.
Cahaya yang dinyalakan daripada minyak tanah atau diesel ini menjadikan suasana di kampung mahupun taman perumahan begitu indah, lebih-lebih lagi pada malam tujuh likur atau sepuluh malam terakhir Ramadan.
Di sebalik keceriaan pelbagai jenis lampu elektronik berwarna-warni serta panjut moden yang diubah suai, masih ada individu-individu yang memilih cara lama iaitu menggunakan panjut buluh.
Meskipun bentuk serta warnanya tidak bercorak menarik, panjut yang diperbuat menggunakan ruas buluh ini mampu menghasilkan cahaya lebih terang serta cantik apabila dipasang.
Maka tidak hairanlah, panjut buluh tradisional yang membangkit nostalgia ini masih menjadi pilihan sesetengah orang bagi memeriahkan Aidilfitri.
Pun begitu, untuk mencari pengusaha atau penjual panjut buluh tradisional pada masa ini bukanlah mudah kerana tidak ramai yang mengusahakannya.

MESIN gerudi digunakan untuk membuat lubang sumbu pelita.
Pembuat dan penjual panjut buluh, Ahmad Pirdaus Yusop, 41, berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri dia akan menerima tempahan panjut buluh daripada mereka yang mengenalinya.
Malah, katanya, ada yang bertanya dan menempah sebelum Ramadan lagi bagi memastikan mereka memiliki pelita buluh untuk dinyalakan pada malam 10 terakhir Ramadan dan semasa hari raya.
Bapa kepada tiga anak ini berkata, dia mula menjual panjut buluh sejak tahun 2017 sebagai pendapatan tambahan dalam menyara keluarganya.
Menurut Ahmad Pirdaus, dia mempelajari membuat panjut buluh daripada bapanya yang merupakan pembuat bubu udang menggunakan buluh ketika dia
masih kecil.
“Hasil jualan bubu udang yang dibuat oleh ayahlah yang membesarkan kami lima beradik dan dari situ saya tahu kerja-kerja buluh termasuk membuat panjut.
“Jadi, pada tahun 2017, saya mula menjual panjut buluh pada rakan-rakan dan tidak sangka ia mendapat sambutan, lantas saya teruskan pada tahun-tahun berikutnya,” katanya ketika ditemui K2 di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah, Perak baru-baru ini.
Tambahnya, setiap tahun permintaan panjut buluh sentiasa bertambah dan tahun ini merupakan yang paling tinggi disebabkan dua tahun Aidilfitri tidak dirayakan ekoran pandemik Covid-19.
“Tidak menang tangan saya dibuatnya sebab saya buat seorang sahaja dan setakat ini lebih 200 panjut buluh ditempah dan ada yang sudah diberikan kepada pembeli.

AHMAD PIRDAUS menggunakan pita ukur bagi mendapatkan jarak sesuai untuk dibuat lubang sumbu pelita.
“Hingga sekarang, masih ramai yang menghubungi saya untuk menempah tetapi saya terpaksa minta mereka menunggu kerana saya takut tidak dapat siapkan tempahan awal,” katanya.
Ahmad Pirdaus berkata, dia menghasilkan panjut tradisional itu menggunakan buluh kuning, buluh betung dan buluh aur ekoran buluh berkenaan tebal dan tidak mudah pecah, selain tahan lama.
Katanya, pembuatan panjut buluh melibatkan proses yang rumit dan memerlukan minat mendalam serta kesabaran tinggi terutama semasa mencari buluh.
Kongsinya, dia mencari buluh di hutan sekitar Kampung Gajah dan proses berkenaan agak rumit kerana perlu membawa beberapa batang buluh keluar dengan berjalan kaki selain proses menebuk buluh yang tebal.
“Apa yang merumitkan adalah mencari buluh di kawasan hutan atau sungai, selain proses menebuknya. Seawal jam 8 pagi, saya akan keluar mencari buluh.
“Selesai mendapatkan buluh, saya akan pulang dan basuh buluh itu. Kemudian, baru saya mula menebuk lubang di ruas buluh yang sudah dipotong sebelum diletakkan sumbu,” katanya.
Ahmad Pirdaus yang bekerja kampung berkata, panjut dihasilkannya tidak mempunyai corak atau diwarnakan memandangkan pelanggan-pelanggannya lebih gemar mengekalkan bentuk dan warna asli buluh.

HARGA panjut buluh yang dihasilkannya bergantung kepada bilangan sumbu.
“Panjut buluh dihasilkan bersifat tradisional tanpa dekorasi atau tambahan warna dan kekemasan kerana pelanggan lebih suka begini memandangkan ia lebih membangkitkan suasana dan mempunyai nilai tersendiri,” katanya.
Tambah Pirdaus, dia menghasilkan dua jenis panjut buluh iaitu enam sumbu dan sembilan sumbu dengan saiz antara 0.5 hingga satu meter bersama ‘kakinya’ untuk memudahkan panjut dipasang.
“Dalam sehari, saya boleh hasilkan 20 panjut buluh dan dijual dengan harga berbeza mengikut bilangan sumbu di mana panjut buluh enam sumbu berharga RM20, manakala sembilan sumbu pula RM30 dengan penambahan RM5 untuk kaki atau pemegangnya.
“Kebanyakan pelanggan saya adalah mereka yang tinggal di kawasan taman perumahan sekitar Perak Tengah, Teluk Intan dan juga Manjung,” katanya.

SEORANG pelanggan kelihatan teruja untuk memasang panjut buluh tradisional bagi memeriahkan suasana Aidilfitri pada tahun ini.
Tambahnya, panjut buluh tahan lama dan boleh digunakan selama tiga tahun dengan penjagaan yang betul seperti tidak menyimpan minyak di dalam buluh selain perlu membilasnya dengan air sebelum disimpan dengan baik.
“Melihat panjut buluh tradisional masih ada permintaan menjadikan saya gembira kerana tradisi kita terus kekal dan tidak tenggelam ditelan arus zaman,” katanya.














