HUBUNGAN suami isteri sememangnya sukar untuk diramal kerana sebagai manusia, kita sudah pasti mempunyai cita rasa dan perasaan berbeza yang sukar untuk diungkapkan.
Itu yang terjadi kepada pasangan yang berkahwin atas dasar pilihan keluarga dan bukannya suka sama suka sebelum melayari bahtera berutmah tangga.
Akhirnya, selepas berkahwin untuk tempoh tertentu, suami baru mengetahui bahawa isterinya seorang yang suka kepada sesama jenis dan akhirnya mereka berpisah.
Isterinya itu mengaku sudah lama menjalinkan hubungan istimewa dengan seorang rakan wanitanya sebelum mereka berkahwin lagi.
MESKIPUN perlu berkahwin dengan wanita pilihan orang tuanya, ia bukan menjadi satu masalah buat Nizam (bukan nama sebenar).
Selepas melangsungkan perkahwinan dengan isterinya, Alin (bukan nama sebenar), mereka tidak dapat tinggal bersama kerana faktor pekerjaan.
Nizam harus tinggal di utara Semenanjung, manakala isterinya menetap di Kuala Lumpur.
Katanya, dia dan isteri tidak menjalinkan hubungan percintaan sebelum berkahwin.
“Walaupun perkahwinan kami diatur, saya cuba untuk mencintai sepenuh hati calon pilihan kedua-dua ibu bapa,” katanya.
Memandangkan mereka tinggal berjauhan, Nizam datang ke Kuala Lumpur sekerap mungkin untuk bertemu dengan isterinya itu.
Ada ketikanya, Alin yang datang ke tempat Nizam untuk menjalani kehidupan suami isteri.
Bagaimanapun, selepas beberapa bulan berkahwin, Nizam mendapati isterinya itu seolah-olah hilang perasaan ghairah ketika mereka ‘bersama’.
Ujarnya, ada ketikanya, isterinya itu menolak apabila diajak untuk ‘bersama’.
“Dia juga jarang menghubungi saya. Jika saya ajak berbual di telefon lebih lama pada waktu malam sebelum tidur, dia memberi alasan mengantuk dan perlu bangun awal untuk pergi bekerja keesokan harinya,” katanya.
Menurut Nizam, ada suatu perkara yang dia perasan, Alin begitu baik dengan seorang rakan sekerjanya yang juga seorang perempuan.
“Saya mendapat tahu rakan sekerjanya itu yang masih bujang sering menemaninya di rumah.
“Pada mulanya saya tidak berapa kisah sangat kerana sekurang-kurangnya, Alin tidak keseorangan di rumah,” katan Nizam.

Namun Nizam menaruh curiga setelah melihat telefon pintar milik isterinya.
Dia mendapati, Alin dan rakannya itu amat mesra sekali bergambar seperti pasangan yang menjalinkan hubungan.
Malah dia turut melihat perbualan mereka berdua di WhatsApp cukup mesra sekali.
“Saya tidak dapat membaca perbualan tersebut dengan lebih lanjut kerana isteri saya telah memadan perbualan mereka yang sebelum ini.
“Saya kemudian meminta penjelasan daripada Alin.
“Dia menafikan mereka mempunyai hubungan ‘istimewa’, hanya sekadar sahabat baik,” ujarnya.
Nizam bagaimanapun, percaya hubungan mereka berdua bukan sekadar kawan baik, tetapi lebih daripada itu.
Justeru, dia mengatur strategi untuk melihat sejauh mana hubungan mereka itu.
Satu hari Nizam mengambil keputusan untuk datang berjumpa Alin tanpa memberitahu isterinya terlebih dahulu memandangkan dia juga mempunyai kunci rumah tersebut.
“Setelah mengetahui mereka berdua ada di rumah, saya masuk secara senyap-senyap bagi mengetahui apa yang mereka lakukan.
“Alangkah terkejutnya saya apabila melihat kedua-duanya berpelukan di atas katil dalam keadaan separuh bogel,” katanya.
Ujarnya, Alin dan rakannya itu terkejut dengan kehadirannya di dalam rumah tersebut.
Berlaku pergaduhan besar antara mereka dan Nizam telah menghalau rakan isterinya itu keluar dari rumah tersebut.
Akhirnya menurut Nizam, isterinya membuat pengakuan bahawa dia sememangnya mempunyai nafsu terhadap wanita, bukannya lelaki.
Malah dia dan rakannya itu telah menjalinkan hubungan ‘istimewa’ sebagai pasangan kekasih sejak sebelum kami berkahwin lagi.
“Dia memberitahu, terpaksa akur dengan pilihan keluarga yang memaksanya untuk berkahwin dengan saya,” kata Nizam lagi.
Pada ketika itu juga,Alin meminta untuk dilepaskan kerana dia langsung tiada perasaan cinta dan sayang terhadap Nizam.
Tanpa banyak soal kata Nizam, dalam keadaan marah, dia ‘melepaskan’ perkataan talak kepada isterinya yang disifatkan curang.
Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk berpisah dan memberi alasan kepada keluarga masing-masing bahawa mereka tidak sehaluan untuk terus bersama.














