KOTA BHARU – Seorang wanita hidup menjanda lebih 30 tahun selepas dia menjalani pembedahan membuang rahim ekoran mengalami fibroid atau ketumbuhan tidak normal pada rahimnya.
Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Zahariah, 60, berkata, pada ketika itu, dia berusia 25 tahun dan baru berkahwin dengan suami yang merupakan anggota tentera.
Mereka katanya, tidak sempat menimang cahaya mata sepanjang dua tahun melayari bahtera rumah tangga.
Menurutnya, dia menjalani pembedahan selepas berkahwin dan mengakui bahawa rangsangan untuk melakukan hubungan bersama suami seakan-akan tiada sehingga terpaksa mencipta pelbagai alasan untuk mengelak.
Ujarnya, ketika itu, dia tidak mengetahui bahawa telah mengalami mati putik atau nama saintifiknya disfungsi seksual sehingga mendapat penerangan daripada doktor.
“Pada peringkat awal sebelum pembedahan, saya mengalami sakit perut yang teruk sehingga tiada keinginan untuk bersama suami, namun perasaan itu lebih kuat selepas rahim dibuang.
“Selepas pembedahan, sakit perut sudah hilang, tetapi saya sudah tiada keinginan untuk bersama suami apabila sering mengadu letih kepadanya.
“Kami bergaduh besar sehingga suami terpaksa melafazkan cerai meskipun usia perkahwinan baru dua tahun,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurut Zahariah, selain tidak dapat menunaikan nafkah batin, alasan suaminya untuk memfailkan perceraian adalah kerana dia sudah tidak dapat memberikan cahaya mata selepas pembedahan.
Ujarnya, meskipun melalui fasa sukar akibat penceraian, dia mengakui, dirinya rasa lebih selesa hidup sendirian selepas bercerai.
“Sejujurnya, saya suka hidup sendiri. Nafsu untuk berkahwin sudah hilang, apatah lagi memikirkan hal-hal mengenai hubungan seks.
“Doktor juga mengesahkan bahawa saya telah menghidap mati putik. Ketika itu, saya tidak tahu terma itu dan hanya memahami ia sama seperti seorang lelaki yang mengalami mati pucuk.
“Disebabkan itu juga, saya tidak berkahwin sehingga sekarang kerana ahli keluarga, rakan dan orang kampung menggelarkan saya sebagai janda tua,” katanya.
Menurut Zahariah, selepas perkahwinan pertama, dia sudah tidak berkahwin sehingga bergelar warga emas ketika ini ekoran bimbang peristiwa sama berulang.
Tambahnya, ada lelaki yang ingin berkahwin dengannya semasa dia berusia 30-an dahulu, namun dia menolak kerana sudah tidak mahu mendirikan rumah tangga.














