PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan paparan imej gema radar bagi tinjauan cuaca terkini menunjukkan, keadaan cuaca adalah baik dan tiada hujan yang dicerap di kawasan kebanyakan negeri di semenanjung Malaysia.
MetMalaysia dalam laporan ramalan cuacanya pada pagi ini berkata, hujan serta ribut petir hanya berlaku di kawasan perairan Selat Melaka dan keadaan ini juga dijangkakan akan beransur reda tidak lama lagi.
“Begitu juga di negeri Sabah dan Sarawak, keadaan cuaca adalah baik dan cerah di kedua-dua buah negeri yang mana hujan serta ribut petir hanya dilihat berlaku di bahagian perairan negeri Sarawak.
“Keadaan ini juga dijangkakan akan beransur reda tidak lama lagi,” katanya di sini hari ini.
Selain itu katanya, carta angin permukaan menunjukkan rantau negara menerima pengaruh angin daripada pelbagai hala dengan kelajuan kurang daripada 30 kilometer per jam.
Oleh itu, MetMalaysia tidak mengeluarkan sebarang amaran angin kencang dan laut bergelora buat masa ini.
“Selain itu, terdapat penumpuan angin di kawasan pedalaman semenanjung Malaysia dan juga pedalaman negeri Sabah dan Sarawak yang mana keadaan ini boleh menyebabkan keadaan cuaca lembap sebelah petang nanti.
“Di sebelah petang nanti pula, hujan serta ribut petir masih lagi dilihat berpotensi untuk berlaku di kebanyakan negeri di semenanjung Malaysia namun ianya lebih tertumpu di negeri-negeri Pantai Timur, semenanjung Malaysia dan kawasan pedalaman termasuk kawasan di negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” tambahnya.
Katanya, di negeri Sabah dan Sarawak pula, hujan serta ribut petir dilihat akan lebih tertumpu di bahagian barat di pedalaman di kedua-dua buah negeri. – KOSMO! ONLINE













