Busana baju kurung sama ada kurung moden, kurung Pahang mahupun kurung klasik merupakan pilihan paling ‘selamat’ dan ayu untuk digayakan bagi menyambut Aidilfitri.
Justeru, tidak hairanlah ia menjadi busana yang paling mendapat tempat dalam hati wanita untuk tampil anggun dan klasik pada pagi 1 Syawal.
Jenama tempatan yang cukup sinonim dengan rekaan busana baju kurung bermotif bungaan kecil, YADOTSA tahun ini tampil dengan seleksi busana kurung panjang dan juga kurung moden yang mempertaruhkan keunikan gaya signatur jenama itu iaitu renda French lace pada setiap busana dihasilkan.
Biarpun ringkas, perincian renda pada busana baju kurung mampu menyerlahkan seri si pemakai.
Menurut Alia Alizar yang merupakan pereka jenama itu, pilihan motif floral segar yang dilukis tangan menjadi pilihan bagi koleksi tahun ini menjadi simbolik bagi meraikan Aidilfitri 2022 yang bakal disambut dalam fasa endemik.
“Bagi meraikan fasa endemik yang merupakan satu peralihan fasa baharu di negara ini, YADOTSA memilih lukisan tangan dengan motif floral yang segar dan lebih menyerlah.
“Bagi koleksi Aidilfitri tahun ini, kami menampilkan tiga jenis motif atau lukisan berbeza pada setiap busana, yang mana setiap satu daripada motif tersebut juga sebenarnya membawakan konsep berbeza untuk dipakai,” ujar Alia, 37.
Bagi motif pertama, YADOTSA menampilkan corak yang diinspirasikan daripada koleksi bungaan Arab yang mula dipertaruhkan jenama tersebut pada tahun lalu.
Motif bungaan kecil dalam rona lembut seperti krim, biru laut dan merah jambu sesuai buat mereka yang gemarkan gaya yang anggun dan elegan.
Motif kedua pula ialah corak ala klasik yang menggabungkan motif bunga marigold dan violet.
Bunga marigold yang terkenal dengan rona kuning terang sesuai buat wanita yang mahu tampil lebih segar.
Bagi motif ketiga pula, Alia menampilkan kelainan dari segi kombinasi corak dan warna apabila memilih rona lebih terang, khusus buat wanita yang mahu tampil lebih berani pada hari raya.
Reka corak bungaan yang segar pada setiap busana yang dihasilkan nyata mempunyai pesonanya yang tersendiri, selain mampu menyerlahkan estetika fesyen si pemakai.
Percikan rona lembut dan garang pada fabrik jenis berkilau juga menyerlahkan elemen mewah pada busana.
Menurut Alia, bagi tahun ini, dia turut menampilkan gaya signatur bagi koleksi bespoke YADOTSA iaitu perincian lipatan pada bahagian lengan untuk koleksi pakaian sedia dipakai (RTW) jenama itu.
“Kami menampilkan kemasan lengan jenis lipatan atau pleated bagi memberi sedikit kelainan pada koleksi tahun ini,” ujarnya.
YADOTSA menampilkan 17 jenis busana Aidilfitri yang boleh didapati daripada harga RM529 hingga RM595 untuk digayakan lebaran ini.














