MEMILIKI berat badan berlebihan adalah masalah yang dihadapi oleh ramai orang di negara ini. Bahkan, kadar obesiti rakyat Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara seperti yang dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia baru-baru ini.
Setiap orang yang berdepan masalah tersebut pastinya mempunyai keinginan untuk mengurangkan berat badan. Apabila tiba bulan Ramadan, ramai yang mengambil peluang untuk mengurangkan berat badan kerana perlu berpuasa.
Dalam masa yang sama, ramai juga yang percaya amalan-amalan tertentu adalah baik untuk kesihatan mereka pada bulan puasa. Sejauh manakah kebenarannya?
Bagi membincangkan hal ini, wartawan Kosmo! Ahad, Farid Ahmad Tarmiji menemu bual Pakar Kecergasan dan juga Pengerusi Pertubuhan Pencegahan Obesiti Kanak-Kanak dan Dewasa, Kevin Zahari Abdul Ghaffar baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Ramai orang impikan badan yang kurus, tetapi susah untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti kurangkan makanan berlemak dan membuat senaman. Apakah teknik senaman atau diet yang mudah diamalkan untuk mendapat berat badan ideal?
KEVIN ZAHARI: Dalam proses pengurangan berat badan, pemakanan ialah faktor utama. Jika seseorang itu sering bersenam dan dalam masa yang sama aspek pemakanan tidak dijaga, sukar untuknya mendapatkan berat badan yang ideal.
Ada istilah mengatakan bahawa kawalan penurunan berat badan adalah 80 peratus melibatkan pemakanan dan 20 peratus senaman.
Kenapa nisbahnya begitu? Ini adalah kerana, secara purata, pengambilan kalori seseorang dalam sehari adalah sebanyak 2,000 kalori dan jika bersenam dalam tempoh sejam, ia hanya membakar sebanyak 500 kalori.
Inilah yang menjadikan pemakanan penting dalam kawalan berat badan.
Jika pemakanan dan senaman dilaksanakan seiringan, secara purata, seseorang dapat mengurangkan berat badan sebanyak dua kilogram (kg) dalam sebulan.
Dalam hal ini, pelbagai kaedah diet yang mengawal kalori boleh dilakukan seseorang untuk mengurangkan berat badan. Mereka boleh memilih jenis-jenis diet yang sesuai dengan diri mereka untuk tujuan tersebut.
Bulan Ramadan biasanya dilihat sebagai masa terbaik untuk menurunkan berat badan kerana kita berpuasa. Bagaimanapun, ramai yang gagal untuk berbuat demikian kerana tidak dapat lari daripada godaan makanan enak semasa berbuka puasa. Bagaimana cara terbaik untuk mengurangkan berat badan ketika bulan puasa?
Terdapat beberapa cara terbaik untuk seseorang mengurangkan berat badan ketika berpuasa antaranya dengan membina pelan pemakanan yang memfokuskan pengambilan kalori dalam lingkungan 1,500 kilokalori (kcal) sehari bagi mewujudkan defisit kalori yang ‘sihat’.
Selain itu, tidak kira sama ada anda bersenam atau tidak, cuba aktifkan diri sebanyak mungkin sepanjang bulan puasa.
Ini kerana, ia dapat meningkatkan pembakaran kalori dan metabolisme badan. Lagi banyak anda bergerak, lagi banyak kalori akan terbakar.
Dalam pada itu, anda juga boleh melakukan senaman intensiti rendah.
Senaman ini boleh dilakukan dalam 30 minit sebelum waktu berbuka puasa dan cuba manfaatkan saat badan yang ‘kekosongan’ glikogen itu untuk membakar lemak dengan senaman intensiti rendah seperti brisk, berjalan, lompat tali, aerobik dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu, jangan tekankan diri dengan niat ‘nak kurus cepat’ kerana ia akan lagi mendatangkan stres dan akhirnya sukar untuk anda mengurangkan berat badan.
Godaan pada bulan Ramadan tidak kurang hebatnya terutama ketika berbuka puasa di tempat menganjurkan bufet Ramadan. Boleh berikan tip kepada orang ramai bagi mengelakkan makan berlebihan ketika berbuka?
Kaedah terbaik adalah dengan mengamalkan konsep wasatiyah ataupun kesederhanaan.
Kita perlu bersederhana dan tidak boleh lupa diri ketika berbuka puasa sehingga makan secara berlebihan.
Majoriti yang berpuasa akan kurang berat badan dan sebilangan kecil sahaja yang tidak akan kurang berat badan kerana lupa diri sewaktu berbuka puasa.
Sebenarnya, masa lebih kurang 20 minit diperlukan untuk seseorang itu mula berasa kenyang. Jadi, makan seperti biasa dan yakin bahawa rasa kenyang akan datang kemudian.
Jika seseorang itu mengambil makanan sepanjang 20 minit itu tanpa henti, barang kali anda makan secara berlebihan.
Malah, sunah Nabi Muhammad SAW juga menyatakan bahawa berhenti makan sebelum kenyang dan kita boleh mengamalkannya.
Ramai umat Islam yang mengambil air sebanyak dua atau tiga liter sekali gus ketika sahur dengan alasan mereka mendapatkan sumber air dalam badan yang cukup sepanjang berpuasa. Adakah cara ini betul untuk diamalkan?
Sebenarnya, kita bukan unta yang mempunyai takungan untuk menyimpan air bagi sesuatu tempoh masa. Lagi banyak kita minum air, lagi cepat badan kita menyingkirkannya dan menyebabkan kita akan cepat merasa haus.
Kita bukan unta dan tidak boleh simpan air untuk seharian.
Nasihat saya, minum dua atau tiga cawan air ketika sahur sudah mencukupi. Air itu tidak semestinya air kosong semata-mata, malah ia boleh diambil bersama air teh ataupun jus oren.
Dalam pada itu, jangan meninggalkan sahur kerana ia penting untuk bekalkan kalori makanan dan bendalir badan.
Pastikan karbohidrat kompleks menjadi pilihan diet semasa bersahur kerana ia akan membekalkan sumber tenaga yang lebih perlahan dan lebih mengenyangkan.
Secara purata, pengambilan kalori untuk hidangan sahur haruslah dalam lingkungan 500kcal dan pastikan ia mempunyai sumber protein dan karbohidrat berserat.
Apakah sumber makanan yang sesuai untuk diamalkan oleh seseorang dalam diet harian?
Dalam hal ini, saya menggalakkan seseorang memahami kemahiran menilai kalori yang diambil.
Kawalan berat badan adalah berdasarkan jumlah kalori yang diambil.
Untuk setiap 1 kilogram berat, ia bersamaan dengan jumlah kalori sebanyak 7,700 kcal dan atas sebab itu, perjalanan untuk mengurangkan berat badan mengambil masa.
Selain itu, keperluan kalori setiap orang juga berbeza.
Sebagai contoh, katakan keperluan kalori seseorang itu adalah 1,800kcal sehari dan untuk kurangkan berat badan, ia perlu mengambil kalori kurang daripada itu.
Dalam hal ini, seseorang itu harus mahir mengawal jumlah kuantiti kalori yang perlu diambil.
Apabila pengambilan kuantiti sudah bagus, kemudian barulah fokus kepada kualiti pengambilan kalori.
Jika aspek kualiti bagus tetapi kuantiti diambil secara berlebihan, ia juga tidak bagus.
Sebagai contoh, kacang bagus diambil tetapi jika diambil secara berlebihan, ia akan meningkatkan kadar kalori.
Orang kata, faktor usia turut memainkan peranan dalam penurunan berat badan seseorang kerana semakin berusia agak susah menguruskan badan. Sejauh mana kebenaran pendapat tersebut?
Apabila semakin berusia, metabolisme badan akan semakin berkurangan. Metabolisme adalah jumlah keperluan kalori seseorang dalam sehari dan ia bergantung kepada jantina, umur, berat, tinggi dan gaya hidup.
Di usia yang semakin meningkat, seseorang itu akan kehilangan otot akibat perubahan hormon. Otot diperlukan untuk membakar kalori bagi mengurangkan berat badan.
Oleh itu, mereka yang berusia, harus melawan proses penuaan ini dan kurangkan kehilangan otot dengan melakukan senaman berbentuk rintangan dan bebanan bagi mengekalkan otot yang ada.
Banyak dalam kalangan masyarakat yang agak malas untuk bersenam mengatakan tidak kisah berbadan gempal asalkan sihat. Apa pandangan anda?
Sebenarnya kecergasan dan kesihatan ini ada ribuan definisi bagi setiap orang.
Ada sesetengah peserta yang menyertai program yang saya jalankan mereka bukan memikirkan untuk kurus semata-mata, tetapi untuk mengurangkan risiko berhadapan masalah seperti diabetes, hipertensi, kolesterol dan lain-lain lagi. Ada juga peserta yang masih muda tetapi tidak gembira kerana dirundung pelbagai masalah dek berat badan berlebihan dan mereka ingin berubah.
Semua ini bergantung kepada diri sendiri dan jika kita mempunyai keinginan untuk mengatasi masalah tersebut, kita akan mencari jalan.
Kesihatan secara umum masih dalam tangan kita. Jika hendak sihat, kita akan melakukan hal-hal yang sepatutnya. Selain itu, kadangkala persekitaran juga menyebabkan seseorang itu tidak kisah akan hal ini.
Jika kita hidup di persekitaran yang tidak sihat dan ada masalah berat badan sama, maka tiadalah motivasi untuk berubah. Sebaliknya, jika kita menempatkan diri dalam persekitaran aktif, ia akan memberi momentum untuk kita berubah.














