SHAH ALAM – Sejumlah 61 lorong tikus di negeri ini dikenal pasti menjadi tumpuan sindiket dalam menjalankan aktiviti penyeludupan migran mereka.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya juga mengesan terdapat tekong darat dan laut yang menjadikan 67 jeti berdaftar dan 20 jeti tidak berdaftar sebagai sasaran mereka dalam melicinkan aktiviti haram tersebut.
“Antara lokasi laluan tikus yang dikenal pasti ialah di Tanjung Sepat, Kampung Melayu Pulau Carey, Tanjung Layang, Ladang Tumbok, Morib di Kuala Langat; Jeram, Sungai Janggut, Tambak Jawa, Lorong Kondo Pantai Remis di Kuala Selangor.
“Turut tersenarai adalah di Kapar dan Sungai Serdang di Klang serta kolam udang Sungai Burung di Sabak Bernam,” katanya.

Jelasnya, hasil pemantauan dan rondaan sebelum ini, pihaknya berjaya menahan 37 tekong berusia 30 hingga 40-an bagi tempoh 2020 hingga Februari lalu.
“Secara pecahannya, 12 individu merupakan tekong darat warga tempatan, manakala 25 yang lain adalah tekong warga Indonesia,” ujarnya.
Rizal menambah, bagi tempoh sama juga, seramai 1,099 PATI termasuk 15 kanak-kanak berusia tiga hingga 51 tahun ditahan dengan segelintir daripadanya pernah bekerja di negara ini.
Kata beliau, PATI yang paling ramai ditangkap merupakan warga Indonesia melibatkan 1,045 individu diikuti Myanmar (46), Bangladesh (3), Sri Lanka dan Pakistan (2).
“Kita turut mengesan salah seorang lelaki PATI yang ditangkap di Banting, Kuala Langat dekat sini pada Disember tahun lalu mempunyai kad pengenalan palsu,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















