NEW DELHI – Sebuah organisasi pemuliharaan alam sekitar, Shoal menemukan 212 spesies hidupan air tawar baharu yang dianggap sebagai kegembiraan dalam komuniti saintifik, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Penemuan kepelbagaian spesies itu didokumentasikan dalam laporan bertajuk New Species Report 2021 yang antara lain, menggariskan fakta bahawa masih banyak yang perlu ditemui di alam semula jadi walaupun manusia telah mencapai kemajuan besar dalam pelbagai bidang ilmu.
Antara spesies yang disebut dalam laporan berkenaan termasuk ikan Wolverine dan belut buta.
Ikan Wolverine itu dinamakan sempena watak adiwira Wolverine daripada filem X-Men. Ikan Wolverine Pleco atau Hopliancistrus wolverine itu dilaporkan mempunyai sistem senjata tersembunyi.
Ikan itu mempunyai pancang sisi yang terselit di bawah insang dan akan keluar apabila haiwan itu diancam musuh. Ia serupa dengan kuku Wolverine yang boleh dimasukkan semula ke dalam tangannya.
Satu lagi penemuan menarik adalah belut buta yang ditemui di dasar sebuah perigi yang terletak di sekolah untuk orang buta di Mumbai.
Ia dinamakan Rakthamichthys mumba sempena nama bandar itu. Belut tersebut berwarna merah terang tetapi tiada sirip, sisik atau mata.
Penemuan 212 spesies baharu itu semestinya bakal memberikan arah dan pandangan baharu kepada saintis-saintis untuk mengkaji spesies hidupan air tawar. – Agensi