YATI tidak sangka suami yang dipercayainya berlaku curang dengan menjalinkan hubungan cinta dengan sepupu sendiri. – GAMBAR HIASAN

K2

Suami kantoi peluk sepupu janda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HUBUNGAN suami isteri harus ada persefahaman dan kemesraan bagi mewujudkan suasana harmoni dalam rumah tangga.

Selain itu, setiap pasangan perlu jujur dalam perhubungan agar mereka kekal bahagia hingga akhir nanti.

Namun itu tidak berlaku dalam perkahwinan sepasang suami isteri yang mana suami mempunyai hubungan intim dengan sepupu sendiri yang merupakan seorang janda.

Isteri mana tidak makan hati selepas melihat suami sendiri memeluk mesra sepupunya di dapur.
————————————————————————————————————————————————-
MENJADI satu kerisauan buat Yati (bukan nama sebenar) apabila usianya telah menghampiri pertengahan 30-an, tetapi masih belum berkahwin.

Yati menjelaskan, dia memiliki kerjaya yang baik, namun kurang bernasib baik dalam percintaan.

“Akhirnya saya meminta bantuan rakan-rakan untuk memperkenalkan mana-mana lelaki yang difikirkan sesuai.

“Seorang rakan kemudian memperkenalkan saya dengan Akim (bukan nama sebenar). Usianya lebih muda daripada saya,” jelasnya.

Jelasnya, melalui perkenalan itu, hubungan mereka semakin rapat dan akhirnya mengambil keputusan untuk mengakhiri zaman bujang.

Setelah berkahwin, baru Yati mendapat tahu bahawa suaminya itu mempunyai ramai sepupu wanita.
Kata Yati, Akim memaklumkan kepadanya bahawa dia rapat dengan sepupu-sepupunya itu.

“Itu tidak menjadi satu masalah, kerana mereka juga menjadi saudara mara saya selepas bernikah dengan Akim,” katanya.

Setelah lima bulan hidup bersama, Yati menyedari suaminya amat rapat dengan salah seorang sepupunya, Ina yang bersatus janda.

“Adakalanya mereka berhubung melalui aplikasi WhatsApp.

“Sebagai seorang wanita, perasaan cemburu tetap ada, tetapi Akim meyakinkan saya bahawa mereka hanya sepupu dan sudah rapat dari kecil. Tambahan pula usia mereka sebaya,” jelasnya.

Yati percaya dengan penjelasan suaminya itu dan cuba membuang perasangka buruk tersebut.


YATI terkejut selepas Ina memaklumkan dia dan Akim menjalin hubungan istimewa. – GAMBAR HIASAN

Namun begitu, Yati perhatikan kemesraan suaminya dan sepupunya itu amat berlainan sekali.

“Jika ada perjumpaan keluarga, saya melihat mereka berdua amat mesra berbanding sepupu yang lain.

“Ada satu ketika, saya ternampak mereka seakan berpelukan di dapur,” jelasnya.

Yati menjelaskan, setibanya di rumah, dia mengamuk dan meminta penjelasan daripada Akim.

Suaminya memberi alasan bahawa mereka hanya sekadar bergurau pada ketika itu.

Dia kemudian mula curiga dengan suaminya dan percaya mereka berdua ada menjalinkan hubungan sulit.

Pada suatu hari, Yati melihat Ina memuat naik gambarnya di dalam sebuah bilik hotel di laman sosial Instagram.

“Hati kecil saya mula curiga. Apabila Akim pulang dari kerja, saya mengambil keputusan untuk memeriksa telefon pintarnya.

“Saya memeriksa rekod sejarah tempat yang dia chek-in di aplikasi MySejahtera. Memang benar dia telah pergi ke hotel yang sama dengan gambar dimuat naik oleh sepupunya itu,” jelasnya.

Yati meminta penjelasan Akim berhubung perkara itu.

Suaminya menyatakan bahawa dia ke hotel tersebut atas urusan kerja kerana bertemu dengan pelanggan.

Tetapi hati kecil Yati berasakan bahawa suaminya itu telah menipunya.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan Akim, Yati mengambil keputusan untuk bertemu dengan Ina bagi meminta penjelasan.

“Saya bertemu dengannya dan meminta penjelasan. Pada mulanya dia tidak mengaku mereka mempunyai hubungan intim.

“Saya meminta dia jujur dan saya sanggup berpisah dengan suami jika mereka berdua ada hubungan istimewa,” jelasnya.

Akhirnya Ina mengakui mereka memang menjalinkan hubungan cinta dan turut memberitahu, dia amat sayangkan Akim kerana mereka berdua pernah bercinta pada usia remaja.

Mendengar penjelasan tersebut, Yati mengambil keputusan nekad untuk berpisah dengan suaminya.

“Saya merakam kata-kata Ina itu untuk dijadikan bukti. Suami saya akhirnya tidak dapat memberi sebarang alasan lagi.

“Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk dilepaskan kerana tidak boleh menerima perlakuan mereka berdua yang diibaratkan umpama api dalam sekam,” ujarnya.

Yati menjelaskan, akhirnya suaminya melepaskannya dan mereka sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di selatan tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN