fbpx
Gambar hiasan

TH prihatin nasib bakal haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Saban tahun, Tabung Haji (TH) akan membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi memberi bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia untuk menunaikan ibadah haji.

Menurut rekod, TH memperuntukkan sebanyak RM2 bilion kepada jemaah haji dalambentuk bantuan kewangan sejak 2001.

Berikutan kos yang semakin tinggi, timbul persoalan berkaitan kemampuan TH untuk bertahan, terutama daripada sudut kewangan dalam menampung pemberian bantuan haji kepada jemaah bagi memastikan kos ditanggung mereka kekal rendah.

BANTUAN bersasar dapat membantu golongan B40 dan warga emas untuk menunaikan haji.

Pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, adalah wajar jika TH memberi bantuan secara bersasar kepada kumpulan yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, perkara ini amat penting di dalam memastikan kelestarian operasi syarikat itu.

“Tunaikan haji adalah satu perkara wajib jika mampu, jika tidak cukup duit maka tidak wajib bagi mana-mana individu untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

“Sehubungan itu, saya berpendapat bahawa sudah tiba masanya, bantuan kewangan untuk mengerjakan haji dilaksanakan secara bersasar kepada golongan B40, atau warga emas yang lebih memerlukan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Ahmed Razman

Ahmed Razman menerangkan, statistik bantuan kewangan juga meningkat sebanyak 139 peratus bermula daripada tahun 2001 hingga 2019.

“Kos pelaksanaan ibadah haji juga akan bertambah dari semasa ke semasa, seiring dengan bantuan kewangan, justeru itu, TH perlu ambil langkah proaktif berkenaan isu ini,” ujarnya.

BAHAROM

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid juga menyuarakan pandangan yang sama.

Katanya, pemberian bantuan itu juga mungkin boleh dibahagikan kepada tiga golongan bersasar.

“Mungkin kepada golongan B40 boleh diberi bantuan penuh, manakala M40 pula sebanyak 50 peratus, sementara kepada golongan T20 pula boleh dipotong bahagiannya untuk tidak menerima bantuan.

“Jika TH mampu melaksanakan perkara sedemikian, mungkin ia boleh mengurangkan kos serta mengekalkan taraf kewangan yang baik buat institusi itu sendiri,” katanya.

Jelasnya, TH wujud bagi memudahkan orang Islam di negara menunaikan ibadah haji, justeru itu langkah tersebut dilihat mampu untuk memudahkan cara buat kedua-dua pihak.

“Kos haji juga makin lama makin mahal, Th juga mungkin terpaksa menanggung beban kewangan yang tinggi dalam memberikan bantuan kewangan ini.

“Langkah ini mungkin ideal buat semua pihak dalam menunaikan ibadah haji,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN