KUALA LUMPUR – Empat beranak termasuk dua kanak-kanak maut manakala seorang cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Lebuh Raya Sultan Iskandar berhampiran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia di sini pagi tadi.
Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Hamdan Samad berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.52 pagi.
Menurutnya, seramai 14 anggota dan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa dan Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi.
“Pihak bomba yang tiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Hyundai Starex dan trak pikap jenis Toyota Hilux.
“Kemalangan berlaku disebabkan Toyota Hilux hilang kawalan dari laluannya (menghala ke Seremban) memasuki arah bertentangan sehingga bertembung,” katanya.
Jelas Hamdan, kesemua mangsa yang tersepit di dalam Hyundai Starex dikeluarkan pihak bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai P. Milan Damani, 32, S. Tinisha, 32, Ishaan Ivaan, 3, dan Rihaan Ivaan, 4.
“Pemandu Toyota Hilux berusia 27 tahun cedera ringan dan dihantar ke hospital sebelum pihak bomba tiba,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














