Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Jantung Negara (IJN) memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bagi menjalankan penyelidikan berkaitan pencegahan penyakit jantung di negara ini.
MOA selama lima tahun itu dimeterai antara Naib Canselor UiTM,Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Azraai Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim di Bangunan Canselori UiTM di sini, hari ini.
Mohd. Azraai berkata, pihaknya dan IJN menerusi Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik (I-PPerForM) akan bekerjasama menjalankan penyelidikan dan menerbitkan hasil kajian berhubung serangan jantung.
“Selain itu, kerjasama tersebut merangkumi aspek pembangunan sumber manusia dan latihan antara kedua-dua pihak.
“Beberapa penuntut UiTM yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) juga akan ditempatkan di IJN untuk menjalani latihan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Aizai Azan amat mengalukan kerjasama UiTM dalam melaksanakan kajian pencegahan serangan jantung.
“Umum mengetahui satu daripada empat kematian di Malaysia adalah berpunca akibat serangan jantung.
“Keadaan itu menunjukkan bahawa kajian terperinci perlu dilakukan bagi mengenalpasti langkah terbaik bagi mencegah penyakit tersebut,” katanya. -K!ONLINE














