TAMPIN – Keputusan kerajaan untuk tidak menyekat sebarang pergerakan pada Hari Raya Aidilfitri nanti membuatkan orang ramai mula bersiap sedia dengan pelbagai persiapan termasuk menempah baju raya.
Seorang pramugari, Siti Zulaika Zainal Abidin, 29, berkata, dia sudah mula membeli dan menempah baju buat lima ahli keluarganya bagi memeriahkan lagi sambutan hari raya tahun ini.
Menurutnya, dia hanya menempah sepasang baju raya untuk semua ahli keluarga termasuk suaminya pada tahun lalu memandangkan ketika itu negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sudah menjadi tradisi buat kami sekeluarga untuk menempah baju raya daripada tukang jahit, manakala bahagian hujung tangan baju akan disulam oleh nenek kami.
“Tahun lalu PKP dan saya hanya tempah sepasang baju. Tahun ini pula, saya sendiri sudah tempah tiga pasang, suami sepasang dan anak-anak dua pasang.
“Tidak salah untuk berbelanja lebih kerana sambutan hari raya tahun ini sangat istimewa selepas dua tahun kita tidak dapat meraikan seperti biasa,” katanya.
Siti Zulaika berkata, kain untuk tempahan tahun ini sudah dibelinya tahun lalu dan kesemuanya di hantar kedai pakaian di Bangi, Selangor.
Bagi Fadhilah Mohd. Razi, 34, dia bersyukur kerana masih ada tukang jahit yang mengenakan bayaran upah murah iaitu RM100 bagi sepasang baju Melayu.
“Harga yang dikenakan masih munasabah dan berpatutan khususnya bagi saya merupakan golongan berpendapatan sederhana.
“Sekurang-kurangnya, saya boleh berkongsi rezeki dengan tukang jahit kerana mereka juga sangat terjejas sepanjang pelaksanaan PKP sebelum ini,” tambahnya.














