RUANG farmasi Alpro cawangan Setapak, Kuala Lumpur lewat petang itu sibuk seperti hari biasa. Beberapa individu dilihat memasuki ruang tersebut sambil membawa sebungkus plastik yang dipercayai mengandungi ubat-ubatan yang telah tamat tempoh.
Sejak farmasi tersebut melaksanakan program Safe Medication Disposal pada November tahun lalu, lokasi tersebut sering menjadi tumpuan orang ramai yang mahu melupuskan ubat-ubatan tamat tempoh dan tidak digunakan.
Sebaik meletakkan ubat yang tidak lagi digunakan di dalam tong merah, Nurul Akmar Ahmad, 31, menghela nafas lega. Ubat yang dimakan sewaktu hamil puteri sulungnya itu disimpan di kediamannya hampir setahun lalu.
Pertama kali mengetahui program tersebut, Nurul Akmar membawa kesemua ubat yang tidak lagi digunakan untuk dilupuskan.
“Sebelum ini, ubat-ubat tersebut hanya dibuang ke dalam tong sampah mahupun sinki. Tetapi apabila mengetahui kesan negatif akibat pembuangan ubat-ubatan merata-rata, saya menyimpannya sehinggalah mengetahui Safe Medication Disposal Programme ini.
“Bukan sahaja dilupuskan dengan selamat, kebimbangan saya memikirkan kebarangkalian anak termakan ubat-ubat ini juga kini hilang,” kata ibu muda ini.

Diperkenalkan lebih dua bulan lalu, farmasi Alpro menyediakan sebanyak 160 buah Tong Merah bagi membolehkan orang ramai meletakkan ubat-ubatan yang telah tamat tempoh atau tidak digunakan lagi di tempat yang betul.
Menurut Pegawai Farmasinya, Sean Liew, sesetengah individu mungkin enggan memulangkan ubat yang tidak digunakan atau tamat tempoh ke hospital kerana bimbang dipandang aneh.
Begitupun di farmasi tersebut, mereka mengalu-alukan individu untuk mempraktikkan amalan pelupusan ubat dengan baik dan membuangnya ke saluran betul sebelum dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.
“Sebelum mengetahui kesan negatif daripada pelupusan ubat yang tidak betul, saya sering melihat ahli keluarga membuangnya ke tong sampah atau mangkuk tandas.
“Saya juga merupakan antara individu yang melakukan perkara sama suatu ketika dahulu. Begitupun semuanya berubah selepas mengetahui pentingnya melupuskan ubat dengan betul,” ujarnya.
Terangnya, pelupusan ubat-ubatan dengan selamat merujuk kepada kaedah pelupusan bahan itu yang tidak diingini, tidak digunakan, tamat tempoh dan rosak dengan betul tanpa mendatangkan kemudaratan kepada alam sekitar dan ekosistem.
Bagaimanapun, kajian dijalankan oleh farmasi itu mendapati, 58.9 peratus responden membuang ubat yang tidak diingini ke dalam tong sampah.
Selain tong sampah, tandas dan sinki kediaman juga merupakan antara lokasi sering dijadikan tempat pembuangan. Situasi itu membimbangkan kerana ia memberi kesan kepada masyarakat dan ekosistem.
Menerusi satu kajian di Sungai Semenyih yang membekalkan air minuman ke Putrajaya menunjukkan terdapat kandungan antibiotik seperti Amoxicillin, Chloramphenicol, Ciprofloxacin, nitrofurazone, sulfamethoxazole biarpun dalam kuantiti rendah.

Bukan itu sahaja, lebih 10,000 kilometer sungai di seluruh dunia mempunyai kepekatan diclofenac melebihi had senarai pantau Kesatuan Eropah iaitu 100 nanogram seliter.
“Sistem rawatan air semasa yang dipasang mungkin tidak berkesan dalam menapis dan membersihkan zarah ubat di dalam air.
“Bayangkan anda berpotensi meminum air yang mengandungi zarah ubat, dengan tahap kepekatan tidak diketahui,” jelasnya.
Kongsinya, di kebanyakan negara, farmasi dan pegawai farmasi memainkan peranan penting dalam menyokong amalan pelupusan ubat dengan cara betul kepada orang ramai.
Mengambil contoh di Sweden, kerajaan negara itu membiayai sepenuhnya program pelupusan ubat melalui farmasi, manakala di Perancis pula, syarikat farmaseutikal melangkah ke hadapan untuk membiayai program-program pelupusan ubat.
“Di negara ini saya bangga apabila Bahagian Perkhidmatan Farmasi di bawah Kementerian Kesihatan melancarkan program Return Your Medicine.
“Ketika menjadi pegawai farmasi di klinik kesihatan dan hospital suatu ketika dahulu, saya lihat ramai individu membawa beg berisi ubat yang tidak digunakan atau tamat tempoh untuk dilupuskan.
“Bagaimanapun, sayangnya ia masih belum meluas kerana masih ramai masyarakat yang tidak tahu dengan inisiatif ini,” ujarnya
Berkongsi kaedah pelupusan ubat dengan cara selamat menurut Sean lagi, di Alpro, selepas ubat yang diletakkan masyarakat ke dalam Tong Merah yang disediakan penuh, pegawai farmasi akan meletakkan ubat yang tamat tempoh, berlebihan atau tidak digunakan ke dalam beg plastik pelupusan berbahaya berwarna kuning sebelum diberikan kepada syarikat pengurusan sisa yang bertauliah.
Ubat-ubat tersebut kemudian akan dibakar atau ditanam mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Bukan sahaja membantu melupuskan semua jenis ubat terkawal sama ada berbentuk tablet mahupun cecair, pihaknya turut membantu melupuskan jarum dan picagari. Begitupun setakat ini, pihaknya tidak menerima pelupusan untuk ubatan berbentuk aerosol dan inhaler.
“Salah satu punca ubat-ubatan berlebihan atau terlalu banyak di rumah adalah disebabkan oleh tabiat clinic-hopping dan pharmacy-hopping. Mereka gemar pergi ke klinik atau farmasi yang berbeza untuk mendapatkan bekalan ubat.
“Kadangkala mereka mungkin diberi ubat yang sama atau mungkin juga individu itu membeli ubat melebihi apa yang diperlukan. Disebabkan itulah, ia menyebabkan lambakan ubat disimpan di rumah dan tidak digunakan sehingga melepasi tarikh luput.
“Situasi ini boleh dielakkan dengan menggalakkan orang ramai membawa bersama preskripsi dan gambar ubat apabila mereka pergi melawat doktor atau membeli ubat-ubatan dari farmasi berdekatan,” katanya.
Terangnya lanjut, kaedah tersebut membantu mengelakkan pertindihan ubat, selain mengurangkan pembelian bekalan ubat-ubatan yang tidak diperlukan.
Jelasnya lagi, ubat yang telah tamat tempoh mungkin tidak selamat dan tidak berkesan untuk mengambilnya kerana ketidakstabilan komposisi ubat selain kandungannya yang berubah. Tambahan pula bagi mana-mana ubat yang berasaskan cecair, ada kebarangkalian untuk berlakunya pertumbuhan bakteria apabila tamat tempoh.
Disebabkan itulah, pentingnya individu untuk mengenal pasti tarikh lupus ubat bagi mengelakkan risiko tersebut. Berkongsi tip mengenal pasti tarik lupus sesuatu ubat menurut Sean, boleh dikesan dengan mudah dengan melihat bahagian bawah ubat dan kotak bungkusan.
“Jika tidak pasti, mereka boleh membawa ubat-ubatan tersebut ke mana-mana farmasi komuniti terdekat dan mendapatkan bantuan daripada pegawai yang ada.
“Kebanyakan ubat dalam bentuk tablet boleh bertahan untuk masa yang agak lama, dengan syarat disimpan dalam peti sejuk atau dalam persekitaran suhu bilik.
“Bagaimanapun untuk sirap, seperti yang digunakan untuk merawat selesema dan batuk, paling baik digunakan dalam tempoh tiga bulan selepas dibuka,” katanya.
Tambah Sean lagi, individu kebiasaannya akan meletakkan sirap di dalam peti sejuk, tetapi sebenarnya tidak diperlukan kerana ubat tersebut mampu bertahan hingga tiga bulan atau tarikh luput.
Sama juga dengan ubat titis mata atau telinga yang secara purata mampu bertahan kira-kira sebulan selepas dibuka.
“Jangan biarkan penawar kita menjadi toksik.
“Apabila ubat digunakan dengan betul, ia adalah penawar yang kita perlukan untuk penyakit.
“Jika diambil dan dilupuskan secara salah, ia menjadi toksik dan membawa malapetaka kepada alam sekitar serta ekosistem,” tambahnya.














