USAHA UMW Toyota Motor (UMWT) membawa masuk model kenderaan elektrik hibrid (HEV) di negara ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk mencapai keneutralan global menjelang tahun 2050.
Model kenderaan HEV yang kelihatan lebih mesra alam agak sesuai di Malaysia pada ketika ini berbanding kenderaan elektrik (EV) kerana infrastruktur yang masih belum lengkap.
Baru-baru ini, UMWT telah melancarkan model Toyota Corolla Cross Hybrid Electric yang merupakan HEV sebagai tawaran baharu dalam barisan sedia ada untuk para pelanggan.
Toyota Corolla Cross Hybrid Electric merupakan kenderaan hibrid pertama Toyota yang dipasang di dalam negara dengan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).
Jenama itu dilihat berusaha untuk mencapai keneutralan karbon menjelang tahun 2035 lebih awal dari tarikh akhir yang ditetapkan bagi industri global iaitu pada tahun 2050.
Syarikat itu juga sedar dan sedia mengguna pakai pendekatan lebih menyeluruh ke arah mencapai matlamat keneutralan karbon.

Berbalik kepada model Corolla Cross Hybrid Electric, kenderaan utiliti sukan (SUV) ini menggunakan enjin hibrid Toyota Corolla Cross 1.8 yang menggabungkan enjin petrol dengan dua motor elektrik.
Gandingan dua sumber tenaga itu membuatkan SUV ini dapat menikmati kecekapan bahan api, kemudahan pemanduan, prestasi kukuh dan jarak perjalanan jauh antara pengisian semula petrol.
Penulis difahamkan, sistem elektrik hibrid Toyota itu telah dirangka sebagai sistem kenderaan yang boleh dipercayai dan sedia digunakan untuk masa hadapan sambil memberikan ketenangan fikiran kepada pemandu.
Bagi meningkatkan penjimatan bahan api, demi memastikan emisi rendah apabila menghidupkan kenderaan dan memecut, sistem ini menggunakan motor elektrik yang menghasilkan pecutan yang cekap dan berkuasa.
Selain itu, prestasinya sewaktu bergerak dipacu secara automatik menerusi kombinasi terbaik antara motor elektrik dan enjin petrol mengikut keadaan pemanduan.
Sistem ini juga secara automatik akan menutup enjin petrol untuk mengelakkan pembaziran bahan api apabila tidak bergerak.

Memandangkan sistem ini berfungsi secara bersama, penjimatan bahan api yang dihasilkan jauh lebih tinggi berbanding mana-mana enjin petrol yang setaraf.
Bateri HEV itu memacu motor elektrik dan mengecas semula secara automatik apabila pemandu menekan brek dan melepaskan pedal atau apabila enjin petrol hidup dan sedang beroperasi.
Sekadar makluman kepada pembaca, model ini menggunakan tangki petrol bersaiz 36 liter sahaja.
Selain menggunakan sistem hibrid, apa yang menarik perhatian penulis ialah model ini dibina untuk menangani kesan hentakan dari semua sisi semasa kemalangan, lantas mengurangkan atau mencegah kecederaan kepada pemandu dan penumpang.
Toyota Corolla Cross Hybrid Electric menawarkan ruang bagasi yang cukup besar dengan menempatkan pek bateri di bawah kerusi belakang bagi memastikan muatan kapasiti bagasi bersaiz 440 liter, sama dengan varian lain.
Pada bahagian kabin , SUV ini menggunakan tempat duduk dengan material kulit dan kerusi pemandu jenis kawalan elektrik, manakala skrin sentuhnya bersaiz sembilan inci dengan menerima sambungan Android Auto dan Apple CarPlay.
Model ini telah menerima penarafan keselamatan lima bintang ketika ujian perlanggaran dan penilaian teknikal oleh ASEAN NCAP.

SUV ini turut dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merupakan rangkaian sistem keselamatan aktif bersepadu untuk membantu pemandu yang juga memanfaatkan ciri Pergerakan Bersinergi Toyota.
TSS terdiri daripada Sistem Praperlanggaran (PCS), Penggera Penyimpangan Lorong (LDA), Bantuan Stereng, Kawalan Halaju Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).
Teknologi teras tersebut menggunakan radar dan kamera yang disokong oleh teknologi keselamatan lain seperti Pemantauan Titik Buta (BSM) dengan Penggera Lalu Lintas Belakang (RCTA), Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS) dan tujuh beg udara SRS yang memberikan ketenangan fikiran kepada pemandu dan penumpang semasa berada di jalan raya.
Corolla Cross Hybrid Electric juga dilengkapi dengan Perakam Video Digital (DVR) di depan (DVR bahagian belakang boleh dipasang atas permintaan) bagi membolehkan pemandu untuk mendapatkan rakaman video pergerakan kenderaan pada setiap masa sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan sebagai bukti jika perlu.
Di samping itu, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) boleh mengesan kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM atau GPS. Pemilik juga boleh mengawasi kelajuan kenderaan jika kenderaan dicuri.
Sebuah pusat kawalan 24 jam sehari akan mencari dan memaklumkan pihak berkuasa yang berkenaan untuk mendapatkan kembali kereta. Lebih menarik, pemilik bagi semua pilihan dalam rangkaian Corolla Cross boleh menikmati langganan percuma VTS selama tiga tahun.
UMWT menawarkan lima warna untuk model Corolla Cross Hybrid Electric seperti kelabu metalik, perak metalik, biru nebula metalik, putih mutiara platinum dan merah mika metalik.
Harga ditawarkan bermula daripada RM136,550 (tanpa insurans). Pihak UMWT turut memberikan waranti kilang selama lima tahun tanpa jarak perbatuan.
Untuk waranti bateri hibrid pula, inverter dan unit kawalan kuasa UMWT menawarkan lapan tahun waranti tanpa had perbatuan.














