fbpx
SARAH bersama wanita yang menjadi kekasih gelapnya, Z berkelakuan seperti pasangan suami isteri.–GAMBAR HIASAN

K2

Tomboi hancurkan istana pasangan bahagia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERGOLAKAN rumah tangga disebabkan kehadiran orang ketiga sudah menjadi lumrah dalam kisah rumah tangga pada zaman sekarang.

Namun, kisah pasangan yang bercerai disebabkan isteri disambar tomboi adalah perkara yang jarang-jarang berlaku dan boleh dikatakan sesuatu yang amat mendukacitakan.

Akibat tidak mahu digelar suami yang dayus, seorang lelaki terpaksa menceraikan isterinya selepas wanita itu berulang kali bertemu kekasih gelapnya yang merupakan seorang tomboi biarpun sudah dilarang beberapa kali.

Lebih memeranjatkan, wanita tersebut secara tiba-tiba memaksanya untuk melafazkan cerai dengan alasan tidak sanggup lagi hidup sebumbung dengan suaminya.
————————————————————————————————————————————-
SEPERTI kebanyakan lelaki lain, Farid, 35, (bukan nama sebenar) mendambakan seorang isteri yang mempunyai rupa paras yang menarik, bersifat keibuan serta mampu menjaga makan pakainya dengan sempurna.

Justeru, apabila ibunya memperkenalkan Sarah (bukan nama sebenar) sebagai calon isteri, tanpa banyak kerenah Farid mengiyakan pilihan si ibu apatah lagi selepas tertarik melihat gambar wanita tersebut yang juga anak kepada sepupu sebelah ibunya.

“Saya dan Sarah sempat bercinta sekejap sebelum kami diikat dengan tali pertunangan dan terus berkahwin selepas itu.

“Sarah bukan sahaja cantik tetapi seorang wanita yang lemah-lembut dan keayuannya pada waktu itu benar-benar memukau jiwa saya,” kata Farid kepada K2 ketika memulakan bicara baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Farid, ‘langit tidak selalunya cerah’ dan rumah tangga yang mereka bina mula goyah selepas sambutan ulang tahun perkahwinan yang pertama.

“Saya masih ingat peristiwa malam itu ketika kami mengadakan jamuan makan sempena ulang tahun perkahwinan tersebut apabila beberapa rakan wanita Sarah yang berperwatakan seperti tomboi turut dijemput untuk hadir pada majlis berkenaan.

“Salah seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Z sentiasa memandang ke arah saya dengan pandangan yang sinis seperti tidak berpuas hati dan sebagainya, namun saya tidak ambil peduli sangat pada masa itu,” kata Farid.

Jelas Farid yang mengusahakan perniagaan makanan secara kecil-kecilan itu, dia bagaimanapun menyedari perubahan sikap Sarah yang seperti mula ‘acuh tak acuh’ ketika melayan dirinya kira-kira seminggu selepas kejadian tersebut.

Tambah memusykilkannya, Farah kerap bersendirian dan lebih gemar berkepit dengan telefon pintarnya hampir ke mana sahaja tanpa mempedulikan dirinya lagi.

IMPIAN bahagia yang didambakan musnah ekoran orang ketiga.–GAMBAR HIASAN

Meskipun terdetik di hati bahawa Sarah seperti sedang berlaku curang terhadapnya, Farid bagaimanapun enggan bertindak melulu sebaliknya lebih gemar untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Sehinggalah pada suatu hari apabila Sarah secara sembunyi-sembunyi keluar dari rumah tanpa pengetahuan Farid untuk berjumpa seseorang.

Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh Farid untuk mengekori dan menjejaki isterinya itu dengan bantuan seorang rakan.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mengetahui bahawa Sarah keluar untuk berjumpa dengan Z dan mereka umpama sepasang kekasih yang sedang bermadu cinta.

“Bukan setakat berpegang tangan, malah, Z dengan beraninya merangkul pinggang Sarah sambil mengucup dahinya dengan lagak seperti seorang suami,” katanya dengan nada marah.

Jelas Farid, dia kemudian memutuskan untuk bersemuka dengan Z dan mahu kekasih gelap Sarah itu melupakan wanita berkenaan selama-lamanya.

Katanya, Z setuju selepas digertak, namun, hubungannya dengan Sarah pula semakin dingin walaupun isterinya pada masa itu telah disahkan hamil tiga bulan.

“Dalam hati, saya berdoa agar anak kami yang bakal lahir nanti akan mengubah personaliti Sarah untuk lebih mengutamakan keluarga berbanding kekasih lamanya itu,” ujar Farid.

Farid berkata, doanya seperti termakbul apabila Sarah kembali seperti dulu sebaik sahaja melahirkan anak mereka iaitu Rayyan (bukan nama sebenar).

Bagaimanapun katanya, panas yang disangkakan akan berkekalan hingga ke petang, rupanya terganggu dek hujan yang turun pada waktu tengah hari.

“Saya tidak sangka Z masih berdendam dengan saya dan muncul semula dengan niat untuk merampas Sarah daripada saya.

“Malah, Z sanggup mengupah orang untuk memukul saya dan menabur fitnah kepada Sarah bahawa saya cuba mengambil kesempatan terhadapnya,” kata Farid kesal.

Lebih memeranjatkan kata Farid, Sarah juga secara tiba-tiba memaksanya untuk melafazkan cerai dengan alasan tidak sanggup lagi hidup sebumbung dengan Farid.

“Pada mulanya, memang saya berkeras tidak akan sesekali menceraikan Sarah walau apapun yang terjadi.

“Namun, apabila Sarah mula bertindak di luar batasan, saya berkata kepada diri saya bahawa saya tidak boleh menjadi seorang suami yang dayus,” ujarnya.

Farid berkata, dia bagaimanapun bersyukur apabila hak penjagaan anak diberikan kepadanya buat masa ini.

“Sejak menghilangkan diri bersama Z, Sarah langsung tidak pulang untuk menjenguk Rayyan.

“Walaupun saya kecewa dan terkilan dengan sikap Sarah serta perbuatan Z yang merosakkan rumah tangga kami, saya tetap berdoa agar kedua-duanya kembali ke pangkal jalan dan hidup dengan fitrah yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambah Farid, jauh di sudut hatinya, dia masih menyayangi Sarah dan mahu ibunya kepada anaknya itu kembali ke pangkuan mereka suatu hari nanti.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN