Kenaikan kos bahan mentah ketika ini menyebabkan pengusaha kantin sekolah mungkin terpaksa mengurangkan kuantiti hidangan kepada pelajar. – GAMBAR HIASAN

Ayam kecil, nasi kurang dan kuah cair

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengusaha kantin sekolah berkemungkinan akan mengurangkan kuantiti makanan bagi setiap hidangan yang dijual kepada pelajar dan murid pada tahun ini bagi menampung peningkatan kos bahan mentah yang amat tinggi.

Keadaan itu menyebabkan pelajar mungkin tidak lagi dapat menikmati makanan dalam kuantiti sama seperti yang mereka­ pernah nikmati di kantin pada tahun lalu jika wang saku mereka tidak ditambah oleh ibu bapa atau penjaga untuk sesi persekolahan kali ini.

Bagi pelajar daripada keluarga berkemampuan pastinya berupaya membeli lebih hidangan, namun murid-murid daripada keluarga miskin mungkin hanya mampu membeli makanan sekadar menggalas perut.

Setiausaha Persatuan Pe­ngusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md. Desa berkata, keadaan seperti itu boleh berlaku dan menjadi kebimbangan pihaknya di sebalik kemelut kenaikan kos bahan mentah ketika ini.

“Kami (pengusaha kantin sekolah) sentiasa cuba memastikan makanan yang berkualiti dijual kepada pelajar termasuk dari segi kuantiti dan sebagainya.

“Bagaimanapun, apabila kos bahan mentah terlalu mahal, pengusaha kantin mungkin akan menghidangkan ayam yang lebih kecil, kurangkan sayur, cairkan kuah dan kurangkan nasi.

“Macam mana hendak salahkan pengusaha kantin sedangkan mereka sudah tidak mampu menampung kenaikan kos bahan mentah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kira-kira 4 juta pelajar perlu membawa duit lebih sekiranya pengusaha kantin menaikkan harga makanan mereka. – Gambar hiasan

Ketika ini terdapat kira-kira 10,200 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara dan 3,000 daripada mereka adalah ahli berdaftar PPKSM.

Siti Normah memberitahu, pengusaha kantin sekolah tidak boleh menaikkan harga sesuka hati kerana harga jualan makanan telah termaktub dalam perjanjian tender.

Katanya, sebelum ini berlaku juga kenaikan harga bahan mentah, tetapi kenaikannya sejak akhir Disember 2021 adalah yang paling melampau.

“Pihak kami menerima rungutan daripada pengusaha kantin yang mengalami peningkatan kos bahan mentah daripada RM5,000 kepada RM10,000 seminggu untuk penyediaan makanan kepada 2,000 pelajar.

“Harga bahan mentah yang naik pula adalah barang yang banyak digunakan di kantin setiap hari seperti ayam, telur dan sayur. Saya jangkakan kenaikan harga bahan mentah ketika ini menyebabkan kos pengurusan kantin sekolah naik 30 hingga 40 peratus,” ujarnya.

Siti Normah memberitahu, bajet terbesar yang diperuntukkan adalah bagi pembelian ayam.

Katanya, jika modal keseluruhan RM9,000, sebanyak RM4,000 daripadanya adalah untuk pembelian ayam sahaja.

“Saya tidak tahu berapa besar saiz ayam yang sesuai dipotong. Ibarat ayam potong 20 pun masih tidak pulang modal,” ­katanya.

Menurutnya, nasib pengusaha kantin sekolah boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga­ kerana mereka sebelum ini kehilangan pendapatan akibat penutupan operasi sekolah dan kini terpaksa berdepan isu kenaikan kos bahan mentah.

Sehubungan itu, PPKSM berharap Kementerian Pendidikan dapat mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha kantin sekolah bagi mencari penyele­saian kepada isu tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN