fbpx
SELEPAS terlihat kelibat seorang gadis cantik yang merenung tajam, pekerja kilang mengalami histeria kerana lemah semangat. –ILUSTRASI SHAH HASAN

Kecoh penampakan gadis mati dibunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH pembunuhan misteri yang belum dapat dirungkai sering dikaitkan dengan cerita-cerita mistik di sebalik semua itu.

Itulah yang cuba ditonjolkan dalam kolum Mitos minggu ini berkaitan kes histeria melibatkan beberapa pekerja wanita di sebuah kilang beberapa tahun lalu dikatakan ada kaitan dengan kes pembunuhan yang masih belum terungkap sehingga kini.

Mereka yang mengalami histeria memaklumkan tentang kehadiran kelibat gadis misteri persis seorang model.

Mereka mendakwa, gadis itu merenung mereka dengan pandangan tajam dan mulutnya terkumat-kamit seperti ingin memberitahu sesuatu.
————————————————————————————————————————————————-

KESIBUKAN pekerja di sebuah kilang elektronik dalam kawasan perindustrian Perai di Seberang Perai, Pulau Pinang pada malam itu terganggu dek suara jeritan Amalina (bukan nama sebenar) yang seakan terkena histeria.

Tidak sampai seminit kemudian, seorang lagi pekerja wanita berketurunan India pula menjerit-jerit seperti dirasuk sehingga membuatkan pekerja lain mula tidak senang duduk.

Apabila jeritan itu bersambung kepada pekerja wanita ketiga, suasana mula menjadi kecoh apatah lagi apabila wanita bertubuh gempal itu tiba-tiba tidak sedarkan diri.

Mujurlah pihak pengurusan kilang pada waktu itu cepat bertindak dan mengarahkan kesemua pekerja keluar dan berkumpul di suatu kawasan lapang berhampiran.

Kisah pekerja kilang diserang histeria itu tidak berhenti di situ, sebaliknya ia terus berlaku tiga malam berturut-turut.

Ini memaksa pengurusan kilang memikirkan beberapa cara alternatif termasuk memanggil guru agama, selain tok sami untuk memulihkan semangat pekerja terlibat.

Jamuan pulut kuning juga dibuat ketika itu kononnya untuk menghalau semangat jahat yang dikatakan mengganggu pekerja-pekerja wanita di kilang itu khususnya.

Apabila keadaan kembali reda beberapa hari kemudian, Amalina mula membuka mulut untuk menceritakan apa sebenar yang terjadi kepadanya pada malam itu.

Menurutnya, dia terkejut apabila ternampak kelibat seorang gadis tinggi lampai berambut panjang asyik merenung ke arahnya dari satu sudut kilang berkenaan.

Dua lagi pekerja yang turut diserang histeria pada malam itu juga memberitahu perkara sama iaitu mengenai kehadiran kelibat gadis misteri persis seorang model itu.

Mereka mendakwa, gadis itu merenung mereka dengan pandangan tajam dan mulutnya terkumat-kamit seperti ingin memberitahu sesuatu.

Dalam pada itu, seorang bekas pekerja kilang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 53, berkata, gadis yang dimaksudkan itu ialah Zarina (bukan nama sebenar) sememangnya wujud dan memiliki rupa paras menawan, seksi serta boleh dikatakan baik dengan semua orang.

Katanya, daripada maklumat diberikan rakannya, gadis itu dipercayai baru habis tingkatan lima apabila menjadi ‘minah kilang’.

DI KILANG yang sudah tidak beroperasi ini dikatakan menjadi lokasi pembuhuhan seorang ramaja perempuan yang cantik.

“Ada juga yang kata, dia (Zarina) sombong kerana jarang membalas teguran, tapi rata-rata orang lama (pekerja senior) yang saya temui memberitahu perkara sebaliknya,” katanya.

Amran berkata, disebabkan kecantikan Zarina, dia menjadi kegilaan hampir setiap pekerja lelaki di situ, khususnya yang dikategorikan sebagai hidung belang sehingga riwayat hidup gadis itu berakhir dengan tragedi.

Selain digilai para lelaki, Zarina juga dicemburui oleh pekerja wanita yang lain yang pastinya iri hati dengan kecantikannya.

“Saya tidak sempat mengenali gadis itu sebetulnya, namun sering mendengar kisahnya daripada kawan-kawan terutamanya mengenai bagaimana dia dibunuh dengan kejam dan mayatnya dikatakan diletak dalam kawasan gudang kilang.

“Ada yang mendakwa, pembunuhnya berdendam kerana tidak pernah dipedulikan mangsa walaupun selalu menyapa gadis tersebut. Ada pula yang berkata, mangsa tidak bernasib baik kerana menjadi mangsa bunuh seorang psikopat,” ujar Amran.

Lebih malang katanya, ada yang mendakwa Zarina turut diseksa secara seksual sebelum dibunuh termasuk dirogol.

Namun kata Amran, apa yang menjadi kemusykilannya apabila pembunuh sebenar Zarina masih belum ditemui walaupun beberapa suspek termasuk seorang pekerja kilang lelaki yang kali terakhir dilihat bersamanya ditahan untuk disoal siasat.

Katanya, lebih merumitkan keadaan tiada sebarang cap jari ditemui di tempat kejadian dan ada juga mendakwa, mangsa tidak dirogol ketika itu kerana berada dalam keadaan haid.

“Selain itu, tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan suspek dengan pembunuhan itu dan kes Zarina juga dilihat semakin dilupakan dari sehari ke sehari.

“Mungkin disebabkan itu jugalah, rohnya masih berkeliaran dalam kawasan kilang iaitu untuk menuntut keadilan,” katanya.

Kisah pembunuhan misteri Zarina sekitar pertengahan tahun 1990-an itu dikatakan bukan sahaja diketahui pekerja kilang tersebut, malah kisahnya telah ‘merebak’ hingga ke kilang-kilang berhampiran.

Pada masa sama, kisah tersebut turut menjadi bualan penduduk setempat serta pernah digarap semula oleh beberapa portal berita untuk disensasikan.

Meskipun pelbagai versi cerita ditularkan mengenai kejadian, namun yang pastinya, kisah pembunuhan misteri itu masih menjadi bualan hingga ke hari ini.
———————————————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN