PETALING JAYA – Keluarga kepada penyanyi terkenal, Along Spoon atau nama sebenarnya Sabi’ul Malik Shafie diharap dapat menerima segala keterangan serta bukti-bukti saintifik yang dikemukakan oleh pihak berkuasa bagi proses pengecaman mangsa yang mayatnya ditemui di dalam karung guni di Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu pada 6 Januari 2000.
Felo, Pakar Runding dan Pemeriksa Utama Academy of Forensic Medical Sciences United Kingdom, Prof. Dr. Shahrom Abd Wahid berkata, proses mengenal pasti identiti mayat yang ditemui itu telah dilakukan secara terperinci oleh pasukan forensik dan pakar-pakar.
“Dari segi saintifik memang didapati itu adalah mayat arwah Along.
“Kita sudah buat siasatan yang terperinci serta menyeluruh dari lokasi di mana mayat ditemui, waktu Along hilang juga didapati bersesuaian dengan keadaan mayat ektika dijumpai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Shahrom yang turut terlibat bersama-sama pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika itu berkata, identifikasi mayat terbabit juga tidak hanya bergantung kepada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan menggunakan darah kedua-dua ibu bapa Along semata-mata.
“Bagi proses mengenal pasti mayat yang dijumpai itu, pelbagai aspek diambil kira antaranya pakaian yang ada pada mayat itu yang didapati ialah pakaian milik Along, selain ketinggian dan ciri-ciri pada wajahnya seperti soket mata.
“Selain itu, rambut serta gigi mayat juga menyerupai arwah Along dan bagi mengesahkan perkara itu, proses tersebut turut melibatkan pakar di mana kita lakukan identifikasi gigi menggunakan teknologi superimposed,” tambahnya.
Bagaimanapun, Dr. Shahrom mengakui kejadian itu bukanlah sesuatu yang mudah diterima oleh keluarga mangsa, namun berharap pihak terbabit terus kuat meneruskan kehidupan.
“Saya berharap agar pihak keluarga Along terus kuat meneruskan kehidupan mereka dan dapat menerima apa yang berlaku,” katanya lagi.

Kosmo! menerusi halaman muka hadapan semalam melaporkan, selepas 22 tahun berlalu, keluarga penyanyi itu masih belum dapat menerima kenyataan bahawa jasad yang dikebumikan adalah jenazah anak mereka berdasarkan keadaan fizikal serta pakaian yang ditunjukkan kepada mereka semasa sesi pengecaman mayat.
Ibu arwah, Rohani Abdul Aziz, 58, berkata, mereka memang sudah reda dan terima dengan hati terbuka bahawa Along sudah tiada, namun masih sukar menerima hakikat lelaki yang dikebumikan itu ialah anak mereka.
Sementara itu, bapanya, Shafiee Yusof, 72, turut menceritakan bagaimana keluarga mereka berhabis ratusan ribu ringgit untuk mengupah bomoh bagi mencari penyanyi itu di negara jiran.
“Kami sampai percaya bahawa anak kami berada di alam bunian dan hanya boleh dibawa pulang dengan memberi wang cagaran sebanyak RM10,000.
“Ada juga yang meminta kami menyediakan katil putih, ayam kampung dan kami hanya turuti setiap permintaan kerana percaya Along bakal pulang dengan bantuan mereka,” katanya.
Mengimbas kembali kejadian itu, Along dilaporkan hilang pada 25 Disember 1999 selepas keluar dari rumahnya sejurus selesai makan malam.
Along bagaimanapun, tidak pulang ke rumahnya selepas pukul 2 pagi, menyebabkan keluarganya telah membuat laporan polis.
Polis akhirnya menemui mayat yang diikat dan dimasukkan ke dalam guni pada 6 Januari 2000 di lereng bukit di Kilometer 28, Jalan Kuala Klawang-Genting Peras, Jelebu. -K! ONLINE















