KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan online dikesan menggunakan warga emas dan penagih dadah untuk membuka akaun bank dengan upah serendah RM200.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, akaun bank itu digunakan oleh sindiket untuk menipu rakyat negara ini sehingga mereka mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit pada satu-satu masa.
“Mangsa yang tertipu akan memasukkan wang ke dalam akaun bank milik keldai akaun (warga emas dan penagih dadah) yang dipegang oleh sindiket.
“Setiap keldai akaun diberi upah sebanyak RM200 untuk membuka akaun bank.
“Ada kes keldai akaun ini terdiri daripada empat sekeluarga dan dibayar RM800 oleh sindiket penipuan online,” katanya di pejabat Kosmo! di sini semalam.

Menurut Abdul Hamid, kes penipuan online dilihat semakin berleluasa sehingga ada mangsa di negara ini yang kerugian jutaan ringgit pada satu-satu masa.
Justeru itu, beliau memberi amaran kepada sindiket penipuan yang masih aktif memperdaya mangsa supaya menghentikan kegiatan jenayah tersebut atau berdepan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).
Jelasnya, pasukan khas telah ditubuhkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman yang mempunyai kepakaran khusus bagi memerangi dan menjejaki mereka yang terlibat dalam kegiatan tersebut.
“Polis juga mendapat kerjasama daripada pihak bank untuk menyekat akaun yang digunakan oleh sindiket,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hamid memberitahu, takut ditangkap atau dikenakan tindakan penjara dipercayai satu daripada empat punca mangsa ditipu selepas menerima panggilan daripada anggota sindiket.
“Mereka takut dikenakan tindakan penjara atau ditangkap kerana mungkin secara kebetulan pernah terjadi kepada diri sendiri.
“Kedua, jangan tamak. Ada sesetengah orang apabila ditawarkan memenangi wang tunai mereka jadi tamak.
“Lagi satu, jangan malas membaca kes-kes penipuan yang dilaporkan media dan tidak panik sekiranya dihubungi orang tidak dikenali,” katanya.
Tambah beliau, setiap kes yang melibatkan siasatan polis perlu melalui prosedur termasuklah hadir ke balai polis dan bukannya melalui panggilan panggilan telefon.
Sementara itu, polis turut mengadakan perjumpaan dengan syarikat telekomunikasi supaya penjualan kad sim telefon bimbit diperketatkan.
“Mengikut tangkapan sebelum ini, ada 10 kad sim didaftarkan atas nama seorang lelaki warganegara Bangladesh dan digunakan untuk tujuan penipuan,” kata beliau.














