BARCELONA – Presiden Barcelona, Joan Laporta melaungkan amaran kepada pencabar-pencabar bahawa kelab itu sudah kembali ke tahap terbaik meskipun ketika ini menduduki tangga kelima La Liga.
Keyakinan itu diluahkan selepas The Catalans berjaya mengikat bintang meningkat naik Sepanyol daripada Manchester City, Ferran Torres dengan yuran perpindahan bernilai €55 juta (RM259.94 juta).
Situasi itu memberikan gambaran Barcelona seakan-akan sudah berjaya menangani masalah kewangan yang menghimpit kelab tersebut sejak musim lalu hingga menyaksikan Lionel Messi berhijrah menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada Ogos tahun lepas.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran dan rintangan sebelum ini tetapi kami terus menjadi contoh terbaik dari segi pasaran perpindahan bola sepak.
“Semua orang perlu bersedia kerana Barcelona yang sebenar sudah kembali. Buktinya apabila Ferran (Torres) berada di sini.
“Saya percaya lebih ramai pemain-pemain bernama besar mahu berada di sini. Kami sedang berusaha untuk memantapkan pasukan dan anda boleh melihat hasilnya selepas ini,” kata Laporta.
Malangnya, Torres perlu menunggu lebih lama untuk turun beraksi selepas dia dan seorang lagi bintang muda Barcelona, Pedri disahkan positif Covid-19.
Antara nama yang dikatakan semakin hampir untuk menjadi pemain kedua bakal menyertai Barcelona ialah penyerang sensasi Juventus, Alvaro Morata.
Bukan itu sahaja, dua tonggak pertahanan Chelsea yang menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu iaitu Cesar Azpilicueta dan Andreas Christensen turut dikaitkan bakal berhijrah ke Camp Nou selepas ini. – AGENSI