ALOR GAJAH – Paras sungai di daerah ini berada pada tahap bahaya dengan lebih 500 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), sejak awal pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sebanyak enam PPS dibuka sejak pukul 3.30 pagi tadi.
“Setakat pukul 4 petang tadi, seramai 507 mangsa daripada 134 buah keluarga di daerah Alor Gajah telah dipindahkan ke PPS susulan banjir kilat yang melanda awal pagi tadi.
“Sebanyak 10 buah kawasan penempatan di Alor Gajah dan satu di Melaka Tengah telah dinaiki air dengan lokasi pada paras kira-kira satu meter,” katanya.
Ujarnya, kawasan terjejas adalah Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok China, Kampung Jeram, Kampung Belimbing dan Kampung Pulau.
Di Melaka Tengah kawasan yang terjejas adalah di Kampung Lanjut Manis.
Dalam pada itu, pasukan polis negeri turut bersama-sama membantu dalam operasi penyelamatan mangsa banjir. – K! ONLINE.














