SEAWAL pukul 9 pagi, Wan Khairul Hakim Wan Mohamad, 22, sudah berada di hadapan rumah jagaan orang-orang tua, Venezer Home yang terletak di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor dengan membawa beberapa peralatan pembersihan.
Terkesan melihat bah yang melanda beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang awal minggu lalu membuatkan pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak ini mengambil keputusan untuk turut sama memerah kudrat yang ada bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dalam misi membantu mangsa banjir memandangkan sebelum ini ia hanya berlaku di kawasan sebelah Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.
Lokasi yang jauh menyebabkan wujudnya halangan untuk membantu.
“Apabila ujian ini berlaku di kawasan berdekatan, saya dan rakan-rakan terpanggil untuk membantu dengan menjadi sukarelawan di Persatuan Cuci Malaysia (Cuci Malaysia).
“Kerosakan yang berlaku menyebabkan banyak tenaga lelaki diperlukan untuk kerja-kerja pembersihan. Begitupun, dalam tempoh lima jam sahaja, kesemua kerja-kerja pembersihan rumah jagaan orang tua itu berjaya dilakukan,” katanya.
Umpama wira tidak didendang, individu yang menjadi sukarelawan ini begitu bermurah hati menghulurkan bantuan biarpun tanpa dipinta.
Kagum dengan semangat permuafakatan antara kaum di negara ini, seorang lagi sukarelawan Cuci Malaysia iaitu pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, Nur Nabilah Tarin, 22, gembira melihatkan keprihatinan rakyat membantu mereka yang ditimpa musibah.
“Saya lihat kenderaan yang tersadai berdebu dan berlumpur, sampah-sarap, tilam dan perabot tersusun di bahu jalan seakan menjemput kedatangan kami.
Perasaan kurang senang mula dirasai kerana saya tidak pernah melihat situasi seperti itu sebelum ini.
“Memang teruk impak ditinggalkan. Bau tidak menyenangkan ada di mana-mana dan penghuni berada di luar kediaman membersihkan apa yang perlu.
Memang berat dugaan mereka,” ujarnya.
Jika sebelum ini kebanyakan bantuan yang datang biasanya berbentuk makanan dan kelengkapan penjagaan diri, namun menyedari pentingnya bantuan membersihkan kediaman pascabanjir, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Cuci Malaysia mengambil inisiatif membantu menjalankan kerja-kerja pembersihan kediaman individu terlibat.

Menurut pengasasnya, Chandra Arjun, 30, pada asalnya persatuan itu ditubuhkan bagi membersihkan tempat-tempat awam dengan menjadikan lokasi seperti padang permainan, pantai dan tepi jalan dipenuhi sampah sebagai sasaran.
Bagaimanapun, ketika Lembah Klang ditimpa banjir, pihaknya melihat banyak sampah dibawa arus ke merata tempat.
Keadaan tersebut memanggil mereka untuk turun membantu mangsa banjir dengan menawarkan perkhidmatan mencuci kediaman secara percuma.
“Semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dahulu, salah seorang daripada kami mula menjalankan kerja-kerja pembersihan secara kendiri di kasasan awam sebagai aktiviti riadah.
Terinspirasi daripadanya, kami turut sama-sama merakam video aktiviti pembersihan untuk ditayangkan di YouTube.
“Kami sedar negara berdepan masalah pembuangan sampah tidak terurus dan ia akan terus menjadi masalah selagi masyarakat kurang peka dengan situasi itu.
“Biarpun setiap hari dikutip, namun sampah tersebut masih lagi ada di tempat sama. Dari situlah timbul semangat untuk sama-sama mendokong dan menyebarkan semangat melupuskan sampah secara lestari dan kitar semua,” ujarnya.
Walaupun motif asal adalah untuk membersihkan kawasan awam, namun pihaknya sedar akan kepentingan mencuci dan membersihkan rumah mangsa banjir bagi membolehkan mereka pulang dengan selesa.
Peka dengan masalah sampah, menurut Chandra, isu kebersihan terutamanya melibatkan sampah merupakan masalah serius.
Jika sampah tidak dibuang di tempat sepatutnya, ia boleh memasuki sistem perparitan seperti longkang dan sungai sehingga menyebabkannya tersumbat dan bertakung.
“Bergerak secara sukarela bersama sekumpulan sukarelawan, kerja-kerja pembersihan dimulakan sebaik pemilik kediaman menghubungi persatuannya menerusi media sosial.
Dari situlah, kumpulan sukarelawan akan dijadualkan dan dibahagi-bahagikan ke lokasi sasaran.
Menjadikan Pangsapuri Jaya, TTDI Jaya sebagai lokasi pembersihan dengan melibatkan enam orang sukarelawan di setiap rumah ketika pertama kali program dilaksanakan.
Terlibat pertama kali membersihkan kawasan banjir, kongsi Chandra, pihaknya berdepan cabaran besar untuk membersihkan kediaman mangsa apabila ketiadaaan sumber air dan elektrik untuk menggunakan peralatan pembersihan tertentu.
Disebabkan itulah mereka terpaksa mengambil lebih masa untuk mencuci sesebuah rumah.
Bagaimanapun, empat hari pertama misi bantuan dilaksanakan, Persatuan Cuci Malaysia ini berjaya membersihkan sekurang-kurangnya 100 buah lokasi.
“Biasanya aktiviti pembersihan dimulakan seawal pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari dan lokasi akan ditentukan mengikut kawasan yang telah dikenal pasti.
“Bagaimanapun kami kini sedang dalam usaha untuk melipatgandakan usaha dan kawasan yang mampu dibersihkan dengan kerjasama sukarelawan dan organisasi seluruh Malaysia yang menyokong dan sanggup meluangkan waktu serta kudrat sepanjang program ini,” jelasnya.
Menurut Chandra lagi, sebaik sahaj program pembersihan pasca-banjir tersebut selesai sepenuhnya, pihaknya akan meneruskan kembali usaha membersihkan kawasan awam yang dipenuhi longgokan sampah bagi memastikan negara bersih.
“Kami harap niat kami untuk ‘mencuci’ seluruh Malaysia diterima baik dan diberi sokongan demi masa depan lebih bersih,” tuturnya.














