Tarian rakyat barongan dipercayai berasal dari Ponorogo dan Jawa Timur, Indonesia kini terus disemarakkan oleh para penggiatnya di Johor termasuk masyarakat di Kampung Parit Bugis, Muar yang kian sinonim dengan persembahan bertopeng harimau itu.
Budaya tradisi masyarakat Jawa yang dipercayai dibawa masuk ke negara ini tahun 1722 itu masih utuh dan terus dipertahankan oleh generasi terkini.
Seorang pemuda berusia 19 tahun dari Kampung Parit Bugis, Muar, Johor bangga dapat mempertahankan tarian tradisi masyarakat Jawa itu yang telah lama bertapak itu dan kini dipersembahkan sebagai sebahagian daripada pertunjukan kepada orang luar yang berkunjung ke situ.
———————————————————————————————————————————————————————–
SAAT Muhammad Ezzhar Baderuddin mengangkat topeng kepala harimau berhiaskan bulu merak setinggi dua meter itu semua anak mata tertumpu ke arahnya.
Sebaik memakai topeng dikenali sebagai barongan itu, penonton yang dianggarkan seramai 50 orang memberi tepukan gemuruh bagi membakar semangatnya.
Pemuda berusia 19 tahun itu membuat persembahan yang cukup baik dengan memanfaatkan sepenuhnya tapak persembahan berkeluasan 20 meter persegi sambil diiringi alunan muzik tradisional Jawa.
Sesekali dia memperagakan aksi akrobatik seperti berguling di atas tanah sebagai simbolik kepada pergerakan barongan yang merupakan seekor ‘pak belang’ jantan.
Ada ketikanya, langkah Muhammad Ezzhar terhenti bagi memberi laluan kepada para penari jatilan (penari berkuda kepang) yang terdiri daripada kaum Hawa membuat persembahan di sekeliling barongan.
Penari yang lengkap berkuda kepang serta berpakaian tradisi Jawa itu memperagakan aksi bagi menarik perhatian barongan, sebelum berlalu pergi sekali gus menghampakan harimau jadian tersebut.
Itulah sebahagian daripada momen menarik tarian tradisi barong atau barongan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Jawa di sekitar Batu Pahat, Pontian dan Muar, Johor.

Muhammad Ezzhar bersama Kumpulan Sri Gemala Reog Arjuna Putro telah membuat persembahan berkenaan di depan wakil media sewaktu berkunjung ke Kampung Parit Bugis, Muar baru-baru ini.
“Beginilah uniknya tarian barongan yang popular dalam kalangan masyarakat Jawa di sini. Ia dimainkan sejak sekian lama iaitu dari zaman nenek moyang saya lagi.
“Biasanya, tarian barongan dimainkan pada majlis keramaian atau menyambut ketibaan para pembesar dan pelawat di kampung ini,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Tarian rakyat yang menggambarkan kisah zaman Nabi Sulaiman AS dengan binatang boleh bercakap itu dipercayai berasal dari daerah Ponorogo dan Jawa Timur, Indonesia.
Tarian barongan dipercayai berkembang di Malaysia sekitar tahun 1722 selepas kerajaan Riau-Lingga hancur.
Para abdi kerajaan tersebut telah berhijrah ke Johor sekali gus mengembangkan pelbagai kebudayaan Melayu berkonsepkan Islam termasuk barongan.
Muhammad Ezzhar memaklumkan, penglibatannya dalam seni tari tradisi bermula pada usia 13 tahun selepas tertarik dengan seni persembahan tarian kuda kepang.
Katanya, selepas dua tahun, dia mula mengalih tumpuan kepada tarian barongan yang dilihat lebih mencabar dalam kalangan rakan-rakan sepelatihnya.
“Sejak kecil lagi saya minat dengan tarian tradisi ini. Tetapi ketika belasan tahun baru saya berkesempatan belajar secara formal bersama kumpulan ini.
“Saya bermula dengan tarian kuda kepang dulu sebelum beralih kepada barongan selepas diajak oleh rakan-rakan. Ternyata, tarian ini lebih mencabar berbanding kuda kepang,” jelasnya lagi.

Tegas anak ketiga daripada lima adik-beradik itu cabaran terbesar memegang watak utama tarian barongan adalah untuk menampung beban topeng seberat 30 hingga 40 kilogram dalam tempoh lama.
Dia yang bekerja sendiri berkata, bebanan topeng berkenaan bukan ditampung dengan tangan, sebaliknya menggunakan kekuatan gigi serta bantuan ‘isi’ di dalam badan.
“Tidak semua boleh memakai topeng barongan ini, orang tertentu sahaja. Mereka yang ingin memakai topeng ini perlu menjalani latihan khusus dan ritual tertentu.
“Pemain utama bukan sahaja perlu menampung bebanan, malah perlu berjoget bersama topeng ini. Kalau gigi tidak cukup kuat, mungkin boleh patah,” ujarnya.
Muhammad Ezzhar menambah, sebagai anak muda, dia bertanggungjawab bagi memastikan seni tradisi berkenaan terus mekar di negara ini pada masa akan datang.
Kebiasaannya, persembahan barongan dijayakan seramai 25 orang yang terdiri daripada pemain utama, penari jatilan dan pemain alat muzik.
Lagu-lagu yang sering dimainkan termasuk Perahu Layar, Cicak Rawo dan Ilir-ilir dengan menggunakan alatan seperti gong, gendang, gamelan serta angklung.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Sri Gemala Reog Arjuna Putro, Mohd. Nazaruddin Md. Sintar, 48, berkata, Barongan merupakan sebuah tarian rakyat yang popular di Kampung Parit Bugis.
Katanya, barongan yang dipersembahkan oleh kumpulannya mempunyai beberapa perbezaan dengan tarian asli berkenaan yang dipercayai berasal dari Ponorogo.
“Kalau dari aspek rupa topeng, alatan muzik dan aksesori digunakan ia sama sahaja dengan di Indonesia. Tetapi bentuk tarian yang dimainkan di sini telah dimodenkan mengikut cita rasa tempatan.
“Begitu juga tarian jatilan yang telah diberi nafas baharu. Perbezaan paling ketara adalah muzik yang mengiring barongan di sini tidak menggunakan alatan trompet,” tegasnya.

Menurut Mohd. Nazaruddin, barongan merupakan sebuah tarian yang menggambarkan kisah-kisah pada zaman Nabi Sulaiman AS apabila ketika itu binatang boleh bercakap.
Dia memaklumkan, tarian tersebut dikatakan tercipta hasil perseteruan antara dua pahlawan yang ingin memenangi hati tuan puteri yang memerintah Ponorogo pada zaman dahulu.
Ceritanya, hasil pertempuran itu pemenang berpeluang berkahwin dengan tuan puteri, manakala yang kalah disumpah menjadi haiwan menyerupai harimau.
“Ramai yang tidak tahu mengenai kisah dan sejarah kewujudan tarian ini. Justeru, setiap kali membuat persembahan, saya akan menceritakan serba sedikit simbolik tarian ini.
“Sebenarnya, topeng digunakan ini mewakili kepada pihak yang disumpah menjadi harimau. Penari jatilan berkuda kepang pula simbolik kepada tentera pengiring tuan puteri,” katanya lagi.
Sewaktu persembahan berlangsung para peserta perlu mematuhi beberapa pantang larang seperti menjaga disiplin dan tidak boleh bercakap besar bagi mengelak berlaku kecelakaan.
Peserta tarian barongan yang kesurapan atau disampuk makhluk halus ketika melakukan persembahan merupakan satu fenomena normal.
Mengulas mengenai penerimaan masyarakat kini terhadap tarian tersebut, Mohd. Nazaruddin menjelaskan, barongan mempunyai penggemarnya tersendiri di negara ini.

Katanya, sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, Kumpulan Sri Gemala Reog Arjuna Putro menerima sekurang-kurangnya tiga jemputan persembahan sekitar Johor.
“Selalunya, kami dapat jemputan membuat persembahan di majlis kenduri kahwin dan kesyukuran, hari lahir serta cukur jambul,” katanya sambil memaklumkan harga setiap persembahan berdasarkan durasi.
Dia memberitahu, cabaran terbesarnya ketika ini adalah memastikan seni budaya berkenaan dapat diterus dan dinikmati oleh generasi akan datang.
Katanya, pihaknya sentiasa aktif mencari ahli-ahli baharu sebagai pelapis memandangkan sudah ramai yang tidak aktif terutamanya selepas bekerja dan berumah tangga.
“Alhamdulillah, masih ramai golongan muda di sini yang berminat mendalami seni tari ini. Kami mempunyai ahli kumpulan paling muda iaitu berusia tujuh tahun,” katanya.
















