PETALING JAYA – Penduduk di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mula membuat persediaan awal bagi menghadapi banjir selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) beberapa kali mengeluarkan amaran hujan lebat di negeri utara tanah air itu.
Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko bencana di negeri-negeri itu telah mengambil iktibar daripada kejadian banjir buruk yang berlaku di Selangor terutama di Shah Alam dan Hulu Langat sehingga keadaan menjadi kelam-kabut selepas air naik begitu cepat.
Di Sungai Petani, penduduk mengambil langkah awal dengan membeli barangan keperluan dan bersiap sedia memindahkan barangan berharga ke tempat yang lebih selamat.
Kakitangan swasta dari Jeniang, Sik dekat sini, Noorirdina Dalila Muhammad, 25, berkata, dia sekeluarga telah membeli barangan dapur sejak kelmarin untuk dijadikan stok bagi mengelakkan mereka terputus bekalan makanan.

“Kejadian banjir kilat yang berlaku tanpa diduga seperti yang terjadi di Selangor baru-baru ini menyebabkan kami mengambil langkah berjaga-jaga.
“Sebaik sahaja dimaklumkan kawasan utara ini akan terkesan dengan hujan lebat yang dijangka hari ini, saya mula beli beras dan makanan mentah untuk disimpan,” katanya.
Sementara itu, Najihah Asri, 24, yang bertugas dengan sebuah syarikat jualan langsung di Sungai Lalang berkata, amaran oleh MetMalaysia itu perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan keselamatan diri dan barangan.
“Saya sekeluarga telah mula memindahkan barang-barang ke tempat yang lebih tinggi untuk mengelakkannya terendam di dalam air jika banjir berlaku. Rumah kami berisiko dinaiki air kerana terletak berdekatan Sungai Bedong,” katanya.
Penduduk Bandar Laguna Merbok, Muhammad Eqhssan Farhan Mah Hazir, 26, berkata, persediaan yang dibuatnya hanya melibatkan pembelian makanan untuk disimpan.
“Saya tidak membuat pembelian panik, sebaliknya menyimpan keperluan asas seperti beras, sardin dan ikan yang cukup untuk seminggu.
“Kebiasaannya apabila hujan lebat akan menyebabkan banjir kilat dan menghalang penduduk keluar untuk mendapatkan bekalan makanan,” ujarnya.
Di George Town, penduduk di daerah Timur Laut iaitu di Jalan P. Ramlee dan Jalan Perak serta di daerah Barat Daya mula tidak lena tidur kerana bimbang jika banjir berlaku secara tiba-tiba.
Seorang penduduk di Jalan P. Ramlee, Mohamad Ismail Saad, 59, berkata, dia akan berpandukan kepada keadaan paras sungai yang terletak di belakang rumahnya.
“Kami akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai itu. Keadaan hujan yang renyai kebiasaannya tidak akan berlaku banjir kecuali hujan lebat yang berterusan selama lebih tiga atau empat jam,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Keadaan kemusnahan harta benda akibat banjir buruk yang melanda perkampungan di Hulu Langat kelmarin.
– SYAWAL ROSLI
Seorang nelayan pantai, Mohamad Fadli Othman, 33, berkata, dia terpaksa pulang dari laut lebih awal pagi semalam berikutan berlaku kejadian angin kencang di tengah laut.
“Mujur kami sempat pulang ke jeti berikutan keadaan angin kuat dan laut bergelora semasa menangkap ikan di perairan dekat Pulau Kendi pagi tadi (semalam).
“Ketika ini (tengah hari semalam), hujan renyai tanpa henti,” ujarnya.
Di Arau, penduduk Kampung Jelempok, Zalina Ali, 63, berkata, dia telah membuat persiapan awal jika hujan lebat berterusan dan mungkin berdepan kejadian banjir di negeri ini.
“Saya telah membuat persiapan sejak bulan lalu setelah rumah kami dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar.
“Sejak itu, saya meletakkan beberapa ketul bata bagi mengelakkan peralatan elektrik dan almari daripada ditenggelami air selain mengangkut barang keperluan lain naik ke tingkat atas rumah,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Sofiah Man, 76, berkata, kawasan rumah yang agak rendah dan sering dinaiki air membuatkan dia bersedia sebarang kemungkinan dan mempunyai beberapa rancangan menghadapi bencana banjir.
“Saya mengambil keputusan untuk meninggikan paras lantai rumah agar tinggi sedikit setelah rumah kami dinaiki air sehingga paras betis baru-baru ini.
“Selain itu, kenderaan akan diletakkan di tempat tinggi dan jika keadaan semakin buruk, kami merancang untuk berpindah ke rumah saudara,” katanya.
Sofiah mendakwa, banjir yang kerap melanda kampung mereka sebelum ini disebabkan sungai di sebelah Kedah tidak mampu mengalirkan air yang banyak jika hujan berterusan selama 24 jam.
Sebelum ini, MetMalaysia dilaporkan berkata, penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang diminta untuk terus berhati-hati dengan cuaca buruk yang bakal berlaku di negeri masing-masing.
Menurut MetMalaysia, selepas cuaca kembali pulih di sebelah Pantai Barat Semenanjung, tiga negeri di utara tanah air itu pula bakal menghadapi keadaan hujan lebat pada hari tertentu.














