Berbekalkan kesungguhan dan minat tinggi, jenama Anne Karim oleh Ida Fauziana Karim kini bukan sahaja terkenal di London, tetapi rekaannya turut menembusi pasaran New York, Amerika Syarikat serta Maghribi dengan rata-rata pelanggannya dari Afrika Selatan, Sweden, Singapura dan Malaysia.
Biarpun baru setahun mengasaskan jenama itu, keunikan blazer dihasilkan Anne membuatkan ia mendapat liputan media fesyen antarabangsa seperti Marie Claire Argentina, Grazia Maroc, L’Officiel Baltic dan Weekly Style Magazine.
Akui pemegang Ijazah Sarjana Muda Perundangan dari Universiti Hertfordshire itu bukan mudah untuk bergelar seorang pereka fesyen memandangkan dia bukan berlatar belakang bidang tersebut.
“Dengan kecintaan yang tinggi terhadap bidang fesyen saya yakin boleh membawa jenama Anne Karim ke puncak kejayaan kerana melakukan pekerjaan ini dengan sepenuh hati.
Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my
KECINTAAN yang mendalam terhadap pemakaian blazer membuatkan Ida Fauziana Karim, 36, bertekad untuk membangunkan jenama fesyen dengan memberi fokus hanya kepada persalinan tersebut sejak Februari tahun lalu.
Dia yang sebelum ini bertugas sebagai perunding perundangan dan banyak menggalas tanggungjawab di sektor korporat memerlukannya sentiasa bergaya kemas serta rapi sehinggakan almari dipenuhi dengan blazer.
Sehubungan itu, blazer menjadi ‘sahabat baik’ kepada Ida Fauziana kerana gaya tersebut menepati tuntutan kerjayanya, kelihatan lebih kemas dan mudah dipakai selain memang pakaian kegemarannya sejak kecil.
Sebenarnya di benak wanita itu tidak pernah terlintas untuk bergelar pereka fesyen kerana dia menuntut dalam bidang perundangan. Setelah menamatkan pengajian, dia meneruskan kerjaya sebagai penasihat perundangan di pelbagai syarikat termasuklah bank di London, England.
Lebih mesra disapa Anne dalam kalangan keluarga dan teman rapat, siapa sangka anak Malaysia yang menetap di London itu kini berjaya mencipta nama menerusi jenama fesyen Anne Karim.

Wanita yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu sebenarnya meminati fesyen sejak kecil apabila sering melihat ibunya berdandan dan sangat mementingkan penampilan apatah lagi dinobatkan sebagai ratu kebaya.
Oleh itu, keperibadian ibunya, Datin Rahimah Mohamaed Yusuff, 76, yang suka berfesyen memberi pengaruh besar kepada Anne dan menjadi sumber inspirasi kepadanya dalam berfesyen.
Selepas 12 tahun bertugas dalam perundangan korporat, kemunculan Covid-19 sekitar Februari tahun lalu membuatkan wanita itu tersedar untuk melakukan perkara disukai dan kebetulan terjumpa lakaran fesyen yang pernah dibuat ketika menuntut di universiti.
Anne hakikatnya telah mula melakar pelbagai rekaan fesyen sejak di zaman universiti yang mana aktiviti tersebut dilakukan sekadar hobi masa lapang.
“Kedatangan Covid-19 ini membuatkan saya tersedar untuk mencapai impian yang telah terpendam sejak sekian lama, memandangkan hampir semua perkara telah dicapai kecuali sebagai pereka fesyen.
“Keinginan itu turut didorong oleh kekecewaan saya kerana tiada jenama yang memfokuskan blazer sehingga sukar mendapatkan blazer berpotongan terbaik, bergaya, ranggi dan segar memandangkan kebanyakan blazer mempunyai rekaan agak membosankan serta sama,” cerita pengasas jenama Anne Karim itu kepada K2.
Walaupun tiada latar belakang pengajian fesyen, berbekalkan kesungguhan dan minat tinggi jenama Anne Karim kini bukan sahaja terkenal di London, tetapi rekaannya turut menembusi pasaran New York, Amerika Syarikat serta Maghribi dengan rata-rata pelanggannya dari Afrika Selatan, Sweden, Singapura dan Malaysia.


Biarpun baru setahun mengasaskan jenama itu, keunikan blazer dihasilkan Anne membuatkan ia mendapat liputan meluas media fesyen antarabangsa seperti Marie Claire Argentina, Grazia Maroc, L’Officiel Baltic dan Weekly Style Magazine.
Akui pemegang Ijazah Sarjana Muda Perundangan dari Universiti Hertfordshire itu bukan mudah untuk bergelar seorang pereka fesyen memandangkan dia bukan berlatar belakang bidang tersebut.
“Dengan kecintaan yang tinggi terhadap bidang fesyen saya yakin boleh membawa jenama Anne Karim ke puncak kejayaan kerana melakukan pekerjaan ini dengan sepenuh hati.
“Saya meminta pandangan daripada konsultan fesyen mengenai hasrat membangunakan jenama ini dan mereka sangat menyokong kerana tiada sebarang label di London yang menekankan penghasilan blazer sahaja,” katanya yang telah menetap di London sejak 10 tahun lalu.
Sehubungan itu, Anne membulatkan tekad dengan mencari pembekal, membuat beberapa kajian dan melakukan perbincangan dengan jurugambar sehingga terhasillah koleksi pertamanya iaitu The Amaranthine.
Jelas anak bongsu daripada tiga beradik itu, proses tersebut banyak mengajarnya untuk bergelar seorang pereka fesyen dengan lebih mendalam walaupun pada mulanya terpaksa menempuh pelbagal cabaran termasuklah halangan Covid-19.
Koleksi pertama Anne Karim itu terdiri daripada lima pilihan blazer iaitu Nefertiti, Champagne, Monaco, The Duchess dan Italian Sunset yang sesuai digayakan ke mana sahaja dan malar segar sepanjang zaman.

Setiap blazer itu mempunyai cerita tersendiri sebagai contoh Nefertiti didedikasikan khas kepada sahabat baiknya yang bernama Nefertiti kerana dia antara yang banyak membantu Anne membangunkan jenama tersebut.
“Selain rekaan dan penggunaan warna menarik, saya juga memilih fabrik tahan lama agar boleh dipakai dalam tempoh lama kerana menyokong kelestarian alam sekitar ekoran kini terdapat pencemaran fabrik terbuang sehingga menyumbang kepada pemanasan global.
“Saya mahu menjadi pereka yang beretika dan memberi kesedaran mengenai pemanasan global, maka blazer di bawah jenama Anne Karim tidak akan dihasilkan secara besar-besaran seperti kebanyakan jenama lain,” tutur ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Tambahnya, kita tidak boleh terlalu mengikut trend sehingga menekan pelanggan untuk menukar pakaian di dalam almari mereka sehingga berlaku pembaziran.
Justeru, koleksi blazer dihasilkan Anne menekankan konsep eklatik iaitu membolehkan pelanggan menyuai padan dengan apa jua gaya dan boleh dipakai di pelbagai lokasi.
Keunikan rekaan yang memberi fokus kepada blazer itu membuatkan jenama Anne Karim terpilih untuk menyertai platform antarabangsa Flying Solo dan membuka pintu lebih luas untuknya dikenali seantero dunia.
Flying Solo ialah satu platform ditubuhkan untuk menyokong pereka bebas bagi membantu jualan dan publisiti serta mempunyai bilik media bagi membolehkan jenama-jenama tersebut mendapat liputan meluas.
“Organisasi Flying Solo ini ada di seluruh dunia dan bukan mudah untuk menyertainya kerana saya perlu melepasi temu bual serta pemilihan juri sehingga ke peringkat akhir.
“Terpilih menyertai Flying Solo merupakan detik termanis bagi saya kerana memberi banyak peluang untuk melebarkan sayap dan berjumpa ramai pereka bebas di bawah organisasi ini yang sangat menyokong antara satu sama lain,” tuturnya yang bakal mengeluarkan koleksi kedua pada suku tahun hadapan.
Mengulas mengenai persaingan, Anne memberitahu, setiap label itu mempunyai kekuatan masing-masing dan tiada isu persaingan kerana mereka semua saling memberi sokongan.
Melihat jenamanya semakin berkembang dan dikenali, besar harapan Anne agar lebih ramai orang sedar tentang mesej kelestarian alam yang ingin disampaikan bagi bersama-sama menjaga Bumi.
Sebagai anak Malaysia, Anne turut berbangga untuk menerapkan elemen kebudayaan masyarakat kita seperti corak kain pelekat pada rekaan blazer Monaco. Dia turut merancang untuk mengeluarkan rekaan berkonsep batik pada koleksi akan datang.
















