BERA – Seramai 350 orang kanak-kanak menyertai program khatan Perdana Parlimen Bera tahun ini yang diadakan di Dewan Padang Luas di sini hari ini.
Majlis yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu dilaksanakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuklah tanpa aktiviti penyemburan air.
Ismail Sabri berkata, pelaksanaan program percuma melibatkan pelbagai golongan masyarakat ini menjadi cerminan dan bukti konsep Keluarga Malaysia di negara ini.
“Terima kasih kepada ibu bapa yang terus menyokong program anjuran Pemuda UMNO Bera ini yang mana hari ini bukan sahaja berkhatan tetapi sumbangan topi keledar kepada kanak-kanak.
“Melalui program ini kita dapat sama merapatkan hubungan sesama kita melibatkan pelbagai kaum selaras dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis berkhatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Paya Luas di sini hari ini.
Menurutnya program khatan perdana Parlimen Bera merupakan program tahunan amat signifikan yang dianjurkan Pemuda UMNO. – K! ONLINE














