MADRID – Penyerang sensasi Atletico Madrid, Antoine Griezmann percaya, pasukannya kini memiliki momentum terbaik untuk menewaskan Real Madrid dalam aksi La Liga awal pagi esok selepas berjaya meloloskan diri ke pentas 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara Eropah awal minggu ini.
Kata Griezmann, prestasi ‘turun naik’ pasukan sejak awal musim ini sememangnya melemahkan motivasi barisan pemain, tetapi kejayaan mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dengan menewaskan Porto menaikkan semula semangat pasukan.
“Kami sudah tidak sabar lagi untuk mengharungi perlawanan getir menentang Real. Saya pasti semua pemain akan memberikan seratus peratus di atas padang memandangkan prestasi pasukan dalam La Liga tidak begitu positif.
“Secara jujur, saya percaya kejayaan pasukan mencipta keajaiban dengan mara ke peringkat kalah mati saingan Liga Juara-Juara menaikkan kembali keyakinan pemain untuk memulihkan kempen musim ini.
“Apa yang pasti, saya yakin jurulatih akan melakukan percaturan terbaik untuk memastikan pasukan mengutip tiga mata berharga memandangkan jurang perbezaan mata antara kami dengan Real ketika ini agak besar,” katanya.
Sementara itu, skuad Los Rojiblancos kendalian Diego Simeone itu dilihat agak tempang apabila penyerang utama, Luis Suarez mungkin diketepikan pada perlawanan di Santiago Bernabeu ekoran masih belum pulih daripada kecederaan.
Susulan itu, Simeone mungkin akan meletakkan kesebelasan utama alternatif dengan menggandingkan Griezmann bersama barisan pemain serangan yang lain seperti Angel Correa dan Joao Felix. – AGENSI














