PETALING JAYA – “Sajat mereka sibuk kejar tetapi orang yang bertopengkan agama dan buat gangguan seksual bagaikan terlepas begitu sahaja.
“Ingin saya ingatkan bahawa golongan munafik adalah penghuni neraka paling bawah. Betulkan jika saya silap.”
Demikian tegas penyanyi rap yang juga aktivis kemanusiaan sensasi, Caprice yang kini dikenali dengan nama Daddycap ketika diminta mengulas mengenai perjuangannya menentang golongan yang bertopengkan agama dan kelakuan baik tetapi sebenarnya adalah munafik.
Dalam nada serius Caprice menegaskan, tiada manusia di dunia akan terlepas daripada melakukan dosa hanya kerana berjubah dan berkopiah.
“Mata dan kepala saya menjadi saksi golongan itu (munafik) membuat ‘langsi’ (kurang ajar).
“Masalah kita ialah Sajat sibuk kita kejar tetapi yang bertopengkan agama dan buat gangguan seksual atau benda tidak elok terlepas begitu sahaja,” katanya kepada Kosmo!.
Berita berkaitan: Caprice tunggu lampu hijau, dedah isu belum selesai
Pemilik nama lengkap Ariz Ramli, 33, itu turut meminta diperbetulkan jika dia tersilap dengan mengatakan bahawa neraka ada tingkat yang berbeza-beza dan golongan munafik
akan menghuni tempat paling bawah.
“Ia merupakan tempat yang paling seram,” katanya yang kembali bersuara setelah sekian lama menyepi sebaik pulang dari Palestin bagi menjayakan misi yang penuh kontroversi.
Caprice mengaku kelantangannya meluahkan pendirian berhubung kepincangan itu sebelum ini bagaikan terhenti seketika kerana menguruskan hal perkahwinan dengan ibu tunggal anak satu, Farra Inalis, 26, November lalu.
“Kini saya akan mula bersuara, namun masih tarik handbreak perlahan-lahan. Orang nampak tak nampak sahaja sebab itu saya sudi ditemu bual media,” katanya.
Menurut pelantun lagu Lenglui itu, dia berharap agar pihak berkuasa bersikap adil dan tidak mengamalkan budaya ‘double standard’ dalam memberikan hukuman dunia.
“Kalau nak pergi kejar atau cari orang yang hisap dadah, buat maksiat atau minum arak atau yang buat silap macam Sajat, kejar juga dengan dua mata terbuka untuk golongan munafik.
“Di sini, asalkan seseorang itu pakai kopiah, pakai jubah atau berpenampilan orang alim, mereka bagaikan terlepas daripada segala kesalahan yang mereka lakukan. Itu salah,” katanya.
Caprice turut mendedahkan, isterinya sendiri berdepan gangguan seksual daripada seorang individu berstatus alim ulama sebelum ini.-K! ONLINE














