fbpx
Caprice tunggu masa dedah lebih banyak pembongkaran, kemelut belum selesai.

Caprice tunggu lampu hijau dedah ‘isu belum selesai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aktivis kemanusiaan dan penyanyi sensasi, Caprice yang kini ingin dikenali sebagai nama pentas baharu, Daddycap mendedahkan, kemelutnya dengan pendakwah bebas, Ebit Lew masih belum selesai.

Caprice atau nama sebenar­nya Ariz Ramli, 33, memaklumkan, dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk meneruskan pembongkaran yang telah dilakukannya sebelum ini.

Pada masa sama, katanya, dia perlu menanti ‘lampu hijau’ daripada keluarga terutamanya isteri, Farra Inalis Hussni, 26, sebelum meneruskan apa yang sudah bermula sejak beberapa bulan lalu di Mesir dan Jordan.

Caprice melangsungkan pernikahan dengan ibu tunggal anak satu itu di sebuah lokasi di Peta­ling Jaya pada 15 November lalu.

“Kemelut ini belum selesai lagi. Benda ini sangat sensitif dan berbahaya kerana melibatkan banyak pihak sebenarnya.

CAPRICE selamat bergelar suami kepada Farra dalam sebuah majlis semalam.

“Sebab saya baru kahwin, jadi isteri masih pegang handbrake (brek tangan) untuk saya meneruskan pembongkaran. Kalau dia (isteri) lepaskan handbrake, saya tekan balik.

“Perjuangan saya sudah lama, sejak tujuh, lapan tahun lalu. Saya sendiri kecewa apabila mengetahui kebenaran,” katanya secara eksklusif kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menyifatkan kemelut dan kontroversi yang melibatkan dirinya dengan Ebit sebagai unfinished business, Caprice berkata, dia musykil dengan budaya pemikiran masyarakat tempatan yang terlalu memandang tinggi golongan agamawan.

Caprice mendakwa, dia telah membuat satu laporan polis pada 1 Oktober lalu berkaitan satu lagi kes yang sedang dalam siasatan pihak berkuasa, namun masih belum menerima sebarang tindakan susulan.

“Selepas saya buat laporan polis, saya tak terima apa-apa follow-up (susulan) daripada pihak mereka. Jadi, saya pun rasa ­peliklah,” ujarnya.

Caprice memberitahu, niatnya untuk meneruskan pembongkaran itu cuma satu iaitu mahu merungkai kebenaran yang berhak diketahui umum.

“Mungkin kata saya agak muda, keras atau langsi, tapi kalau benar nak pertahankan Al-Aqsa (kiblat pertama umat Islam), kita kena faham yang musuh kita bukan orang Israel sahaja, sebenarnya ada musuh dalam Islam juga.

“Bagi saya, the biggest scam, the biggest treat in Islam bukan daripada orang-orang luar tapi ia datang daripada orang kita sendiri atau komuniti kita,” ujarnya.

Kontroversi melibatkan Caprice dan Ebit bermula daripada isu bantuan misi kemanusiaan Ebit ke Gaza, Palestin sekitar Julai lalu.

Caprice dilaporkan telah menegur Ebit atas dakwaan me­nerima rungutan daripada penduduk Gaza mengenai cara pendakwah itu menghulurkan bantuan selain perkongsian gambar kanak-kanak miskin di media sosial.

Ketika itu, Caprice berada di Jordan sebelum pulang ke tanah air pada September lalu.

Selain itu, penyanyi rap terbabit mendakwa, rancangannya memasuki Gaza terhalang akibat campur tangan luar.

Misi kemanusiaan Ebit ke Gaza juga menimbulkan kontroversi selepas cara pendakwah tersebut mendapatkan kebenaran untuk masuk ke Gaza dipertikaikan.

Nadir Al Nuri

Perkara itu kemudian diulas Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzam yang turut mempersoalkan perkara sama.

Muhammad Nadir dilaporkan mendakwa, Ebit menggunakan syarikat Hala yang mengenakan bayaran mahal bagi memboleh­kannya memasuki Palestin.

Menurutnya, dalam tempoh sekitar lapan tahun selepas pertukaran kuasa di Mesir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya dapat masuk ke Gaza melalui Rafah dengan melalui NGO antarabangsa Miles of Smiles.

“Kenapa kaedah pasukan EL (Ebit) memberi kesan besar kepada NGO lain? Kerana kalau sebelum ini banyak NGO boleh masuk melalui cara lama bersama Miles of Smiles, kini mereka terpaksa menggunakan cara baru dengan membayar kepada syarikat harga yang tinggi,” kata Muhammad Nadir.

Bagaimanapun, Ebit dalam satu sidang akhbar menafikan segala dakwaan oleh Muhammad Nadir termasuk isu bayaran wang kepada pihak tertentu untuk memasuki Gaza.

Pendakwah bebas itu dilaporkan berkata, dakwaan itu adalah fitnah yang melampau kerana dia sama sekali tidak tahu mengenai syarikat tersebut, sebaliknya proses memasuki Gaza adalah melalui Kedutaan Malaysia.

Ebit juga menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan gangguan seksual yang dikaitkan dengan dirinya yang disifatkan suatu fitnah yang sangat kejam dan melampau, malah satu cubaan untuk menjatuhkan ma­ruahnya.

Pada 24 November lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula memaklumkan bahawa kes membabitkan pendakwah terkenal itu belum lagi ditutup dan masih dalam siasatan pihaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN