BAGI pendaki bukit atau gunung, kepuasan yang dicari pasti diperoleh selepas berjaya menawan puncak dan mengabadikan keindahan alam semula jadi dalam potret sebagai kenangan seumur hidup.
Biasanya tempat pendakian baharu yang sebelum ini hanya dipandang sepi oleh orang ramai mula menjadi perhatian selepas beberapa keping gambar keindahannya menjadi tular di laman-laman sosial.
Begitu juga halnya dengan Bukit Jelutong yang terletak di Kampung Kepah, Hulu Terengganu yang sebelum ini hanya dipandang sebagai sebuah kebun getah yang tidak ada apa-apa keistimewaan.
Semuanya berubah apabila salah seorang peserta memuat naik gambar berehat di dalam kebun getahnya ke akaun Facebook peribadi pada bulan Ogos lalu dikelilingi panorama indah gumpulan awan dipanggil ‘awan karpet’ tersebut segera menggamit perhatian ramai netizen.
———————————————————————————————————————————————————-
TIGA bulan lalu, Bukit Jelutong yang terletak di Kampung Kepah, Hulu Terengganu, Terengganu cumalah sebuah kebun getah biasa. Tiada siapa berminat memasukinya kecuali 35 penduduk kampung yang mengusahakan tanaman getah berkelompok itu sejak hampir 30 tahun lalu.
Namun, semuanya berubah apabila salah seorang peserta memuat naik gambar dia sedang berehat di dalam kebun getahnya ke akaun Facebook peribadi pada bulan Ogos lalu. Gambar Che Wan Yusof Che Wan Non, 57, sedang berehat di kebun getahnya yang dikelilingi panorama indah gumpulan awan dipanggil ‘awan karpet’ tersebut segera menggamit perhatian ramai netizen.
Tularnya gambar tersebut di media sosial menyebabkan Bukit Jelutong tiba-tiba popular dalam kalangan penggemar aktiviti pendakian.
Mereka sanggup mendaki bukit tersebut untuk menikmati pemandangan indah awan karpet selain berswafoto dengan fenomena tersebut.
Menariknya, Bukit Jelutong merupakan lokasi paling mudah untuk didaki bagi melihat awan karpet kerana hanya setinggi 200 meter dari paras laut.
Berdasarkan penjelasan saintifik, awan karpet merupakan hamparan putih yang terbentuk daripada kepulan kabus mampat ekoran struktur geografi kawasan persekitaran puncak Bukit Jelutong berkenaan.

Struktur tanah dan deretan pokok yang mengelilingi puncak bukit itu telah menyebabkan wap udara sejuk dari permukaan tanah bergerak perlahan sebelum menjadi mampat sekali gus menghasilkan fenomena awan karpet.
Pemilik tanah, Che Wan Yusof berkata, dia tidak menyangka gambarnya yang dimuat naik secara suka-suka untuk tatapan rakan pengikut akaun Facebook tersebut boleh menjadi tular.
Datuk kepada dua cucu itu berkata, gambarnya sedang berehat di kebun getah berlatar belakang awan karpet berkenaan telah mengubah landskap kebun getah mereka sehingga 360 darjah.
“Panorama awan karpet memang sudah biasa kelihatan di kawasan kebun getah saya yang kebetulan terletak di kawasan paling tinggi di puncak Bukit Jelutong.
“Tanpa dijangka, gambar yang tular itu menjadi punca ia kini menjadi tumpuan ramai penggemar aktiviti pendakian,” katanya kepada Panorama.
Bercerita tentang sejarah Bukit Jelutong, Che Wan Yusof memberitahu, pada asalnya pemilik tanah termasuk dirinya mahu mengusahakan dusun durian di kawasan berbukit tersebut pada awal tahun 1990-an.

Begitupun, jelasnya, hasrat itu tidak kesampaian ekoran kawasan tersebut sukar diakses kerana tidak memiliki sebarang kemudahan asas termasuk jalan.
“Rancangan memajukan tanah itu kemudiannya bertukar kepada projek penanaman getah berkelompok.
“Syukur Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) banyak membantu termasuk menyediakan jalan asas hingga ke puncak bukit,” katanya.
Sambutan luar dugaan dalam kalangan peminat aktiviti pendakian telah membuka jalan kepada Che Wan Yusof untuk menceburi bidang pelancongan komuniti.
Buat permulaan, pengusaha kebun getah tersebut mengeluarkan duit poketnya sendiri sebanyak RM1,000 untuk membina wakaf rehat bagi kemudahan pendaki.
“Saya juga membuka gerai menjual makanan ringan dan minuman untuk kudapan para pendaki pada setiap pagi dan petang,” ujarnya.
Che Yusof berkata, dia sedang mengumpul duit untuk membina kemudahan tandas demi keselesaan pendaki tidak lama lagi.
Jelasnya, biarpun Bukit Jelutong kini semakin maju sebagai lokasi pelancongan, semua 35 peserta program tananam berkelompok telah bersepakat untuk kekal mengusahakan kebun getah masing-masing demi jaminan masa depan.

FOTO rakaman Che Mohd. Yusof (kiri) inilah yang tular di media sosial baru-baru ini sehingga Bukit Jelutong semakin dikenali ramai dengan keindahan fenomena awan karpet.
Sementara itu, seorang peminat aktiviti pendakian, Norsyahirah Ariffin, 26, berkata, dia dan rakan-rakannya teruja apabila mengetahui awan karpet boleh dilihat di puncak Bukit Jelutong.
Gadis berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu itu berkata, sebelum ini, mereka perlu ke Gunung Stong, Kuala Krai, Kelantan dan Bukit Panorama, Sungai Lembing, Pahang untuk menyaksikan fenomena awan karpet berkenaan.
“Setahu saya tiada lokasi lain di Terengganu yang boleh menyaksikan awan karpet semudah di Bukit Jelutong kerana pendakian hanya mengambil masa kira-kira setengah jam.
“Begitupun, walau hanya kira-kira 200 meter, sebahagian laluannya agak curam. Oleh itu kita harus bersedia dengan stamina secukupnya dan berpakaian bersesuaian,” katanya.
Norsyahirah berkata, pendaki perlu mendaki seawal pukul 6.45 pagi bagi melihat panorama awan karpet.

Dia berkata, awan karpet biasanya boleh dilihat pada awal pagi sewaktu matahari hendak terbit dan amat sensitif dengan perubahan suhu dan cuaca.
“Kalau cuaca panas atau jerebu, awan karpet tidak akan kelihatan sekali gus menghampakan peminat aktiviti mendaki yang mahu menikmati keindahannya,” katanya.














