fbpx
EIJI bersama karya-karya seni ukiran daun yang dihasilkannya.

Potret ukiran daun menakjubkan hasil nukilan Eiji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEHELAI daun mampu bertukar menjadi karya yang sangat indah apabila ia berada dalam tangan orang seni.

Itulah yang terjadi apabila seorang pemuda bernama Muhammad Hafizi Abdul Karim, 30, membuat ukiran pelbagai motif di atas daun sehingga tular di laman sosial.

Langkahnya dalam seni ukiran daun tersebut bermula sejak Mei lalu ketika dia sekadar ingin memenuhi permintaan isteri untuk mengukir wajahnya di atas sehelai daun, namun tidak menyangka hasilnya sungguh menakjubkan.

Percubaan pertama kali itu ternyata memberi idea kepada pemuda tersebut untuk menghasilkan karya yang sangat unik meskipun hanya menggunakan kreativiti tersendiri tanpa mendapat bimbingan atau rujukan daripada mana-mana pihak.

Nama Muhammad Hafizi atau lebih dikenali sebagai Eiji mula melonjak di media sosial apabila dia menghasilkan ukiran daun bagi menunjukkan solidariti Palestin yang mana ia merupakan isu panas pada ketika itu.

Dia membuat hantaran mengenai karya tersebut di kumpulan Facebook LUKIS dengan kapsyen berbunyi ‘ukiran daun akan kering tetapi doa rakyat Malaysia untuk Palestin tak pernah kering’.

“Tidak sampai setengah jam, ramai ahli kumpulan tersebut yang terdiri daripada pelukis di seluruh Malaysia memberikan respons dan menyatakan perasaan kagum dengan ukiran itu termasuklah tersentuh dengan kapsyen yang saya hasilkan.

“Saya membuat ukiran daun bercorak Masjid Al-Aqsa dan tulisan Free Gaza dengan sepenuh hati bagi menunjukkan solidariti sehingga ia tular dan dikongsikan di beberapa kumpulan laman sosial lain,” ceritanya yang berasal dari Kulim, Kedah.

EIJI perlu memberikan sepenuh perhatian semasa melakukan ukiran pada daun kerana sebarang kesilapan menyebabkan dia perlu membuat ukiran pada daun yang baharu.

Eiji memberitahu, setakat ini di Malaysia dia adalah satu-satunya orang yang menghasilkan seni daun tersebut walaupun karya sebegitu popular di negara-negara luar terutamanya Jepun.

Jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu, dia mempelajari sendiri cara membuat ukiran daun tersebut memandangkan di internet tidak ramai orang yang membuat kandungan berkaitan cara pembuatannya.

“Saya mereka pelbagai kaedah dan teknik tersendiri untuk menghasilkan karya ukiran daun yang lebih kemas, cantik serta menakjubkan.

“Sehubungan itu, saya mencuba pelbagai jenis daun termasuklah daun nangka dan kini menggunakan daun teja kerana ukiran terbentuk lebih cantik, tahan lasak serta mudah untuk menghasilkan corak di atasnya,” ujarnya yang mencari sendiri daun-daun hijau tersebut berdekatan dengan tempat tinggal di Sungai Petani, Kedah.

Sebelum membuat ukiran, Eiji akan membuat lakaran di atas daun atau kertas untuk mendapatkan idea dan kemudian memulakan ukiran menggunakan pisau pemotong kertas biasa.

Dia yang menggelarkan diri sebagai pakar bedah daun itu memberitahu, untuk membuatkan ukiran daun tersebut memerlukan pisau yang sangat tajam agar bentuk terhasil lebih cantik.

EIJI (kanan) semasa menyerahkan karya uniknya kepada Tun Dr. Mahathir (tengah) yang turut mengagumi hasil seninya itu baru- baru ini.

Sehubungan itu, dia menggunakan pisau biasa iaitu SDI 0416 yang boleh dipatahkan mata sekiranya telah tumpul berbanding pisau ukiran kerana ia tidak sesuai untuk daun.

“Saya akan menggunakan pisau tersebut sekitar dua hingga tiga bilah bergantung kepada saiz daun dan juga corak yang ingin diukir.

“Saya mengambil masa sekitar dua jam sehingga sehari untuk menyiapkan ukiran daun bergantung kepada corak dan tahap kerumitannya,” tuturnya yang merupakan seorang pelukis.

Membuat ukiran di atas daun memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi kerana ia lebih rumit berbanding melukis di atas kertas yang boleh dipadamkan sekiranya tersilap.

Oleh itu, Eiji akan memberi fokus 100 peratus ketika membuat ukiran kerana jika tersilap walau sedikit dia terpaksa hasilkan semula dari langkah pertama dengan menggunakan daun baharu.

“Kebiasaannya saya akan mengukir daun pada waktu pagi hingga tengah hari dan tengah malam sampai subuh.

“Saya menghasilkan pelbagai corak atau motif di atas daun seperti potret, haiwan, pengangkutan dan seni bina bangunan,” ulasnya dia turut mencabar diri membuat ukiran khat di atas daun.

Antara potret-potret yang dihasilkan oleh Eiji sehingga tular ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tunku Abdul Rahman, Siti Sarah dan Shuib, Ustaz Ebit Lew dan Tan Sri P. Ramlee.

MOTIF atau subjek yang dihasilkan pada daun adalah pelbagai termasuk potret seperti wajah Tunku Abdul Rahman, pemandangan kampung dan laut serta aksi kenderaan.

Menariknya, ukiran potret tersebut turut disedari oleh Tun Dr. Mahathir yang sangat menyukai hasil tangan anak keempat daripada 10 beradik itu.

“Saya berasa sangat teruja dan gembira apabila diberi kesempatan untuk menyerahkan sendiri ukiran daun tersebut kepada Tun baru-baru ini.

“Ia membuatkan saya berasa lebih bersemangat untuk berkarya bagi menghasilkan ukiran daun yang berkualiti tinggi,” katanya.

Eiji yang sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan seperti berniaga air buah dan kerja kilang kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada ukiran daun ekoran permintaan yang semakin tinggi saban hari.

Justeru, dia turut dibantu oleh isteri, Nur Shuhada Atiqah, 24, untuk kerja-kerja membungkus tempahan pelanggan agar ia sampai dalam keadaan selamat ketika proses penghantaran.

KARYA Free Gaza yang tular dan menjadi titik permulaan populariti Eiji.

Setiap satu ukiran daun itu dijual bermula RM100 ke atas bergantung kepada saiz dan juga kerumitan. Eiji pernah menjual karya tersebut paling mahal pada harga RM2,000 yang bermotif potret wajah manusia.

Daun-daun yang diukir itu akan diawet dan diletakkan di dalam bingkai kaca bagi memastikan ia tahan lama serta tidak rosak.

“Ukiran daun ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan, hari lahir dan hantaran perkahwinan.

“Kebanyakan pelanggan kami datang dari seluruh Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Besar harapan Eiji untuk mengembangkan lagi karya seni daun itu dan dia juga menyimpan impian untuk membuka galeri ukiran daun suatu hari nanti serta membuka kelas bagi berkongsi ilmu seni tersebut kepada mereka yang berminat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN