fbpx
MUNGKIN beginilah rupa nenek kebayan yang marah apabila tempat tinggalnya diceroboh manusia. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Disakat nenek kebayan Air Terjun Lasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ORANG tua ada berkata, jika berada di kawasan hutan, jaga mulut dan jangan bercakap besar nanti buruk padahnya kerana ‘penghuni’ di kawasan tersebut tidak suka dengan perbuatan itu.

Itu yang berlaku kepada sekumpulan remaja yang mengambil keputusan untuk bermalam di kawasan Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu kira-kira 13 tahun lalu.

Mereka dikatakan telah menceroboh tempat tinggal nenek kebayan yang sudah lama menetap di situ bersama dua cucunya. Mereka diuji dengan kejadian menakutkan yang tidak mungkin dilupakan seumur hidup.
—————————————————————————————————————————————————-
MIRA, 33, pasti tidak dapat melupakan pengalaman ‘diancam’ nenek kebayan sewaktu dia dan rakan-rakannya termasuk beberapa lelaki berkhemah di kawasan Air Terjun Lasir kira-kira 13 tahun lalu.

Dia yang masih remaja pada masa itu mengatur percutian di kawasan riadah yang terletak di Pulau Lasir terletak di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu tanpa berfikir panjang.

“Kami bukan sahaja mahu mandi-manda, tetapi berhajat untuk bermalam dengan berkhemah di kawasan air terjun di pulau berkenaan.

“Pengendali bot laju yang kami sewa pada mulanya agak keberatan untuk memenuhi permintaan itu, tetapi kami tidak peduli. Maklumlah darah muda, makin dilarang makin kami teruja untuk berkhemah di kawasan itu,” ceritanya kepada Panorama baru-baru ini.

Mira berkata, sebaik memasang khemah masing-masing di puncak Bukit Lasir pada sebelah petang, sebahagian besar rakan-rakannya yang teruja dengan kejernihan air terjun itu telah turun mandi-manda dengan perasaan gembira.

Sebaliknya, dia dengan seorang rakan wanita memilih untuk memanggang makanan seperti ayam, udang dan sosej di tebing kawasan air terjun untuk dinikmati sebagai juadah makan malam nanti.

“Pengalaman mistik bermula apabila saya tiba-tiba ternampak seolah-olah rakan yang bersama saya terjun ke dalam air dan hampir lemas.

“Saya yang panik nekad terjun ke dalam air bagi menyelamatkan rakan saya itu sedangkan saya sendiri sebenarnya tidak pandai berenang,” ujarnya.

Mira yang kini sudah berkeluarga dan mempunyai tiga anak memberitahu, tindakan itu menyebabkan dia pula yang hampir lemas, namun bernasib baik diselamatkan oleh rakan-rakannya yang lain.

Sebaik sedar, dia didakwa berhalusinasi kerana rakan yang disangka lemas tersebut sebenarnya tidak pernah turun ke dalam air, sebaliknya berada di sisinya memanggang ayam.

Katanya, kejadian itu membuatkan dia bingung, namun ia tidak berhenti begitu sahaja.


SUASANA nyaman dan tenang Air Terjun Lasir menjadikan kawasan itu tumpuan ramai untuk berkelah di hujung minggu.

“Pada sebelah malamnya, saya dan enam rakan lain rasa sejam sejuk hingga tidak boleh melelapkan mata,” katanya.

Mira memberitahu, tambah menggerunkan, salah seorang rakannya mendakwa, ternampak kelibat seorang wanita tua yang seakan-akan merenung tajam dengan wajah garang ke arah mereka.

Dia dan rakan-rakannya berdoa agar hari cepat siang supaya boleh pulang segera.

“Jika tidak disebabkan ketiadaan liputan telekomunikasi, sudah pasti kami akan menghubungi penyedia bot untuk pulang semula ke jeti pada malam itu juga,” katanya.

Kisah sebenar tentang kewujudan nenek kebayan itu hanya terbongkar apabila diceritakan pengendali bot laju terbabit sebaik Mira dan rakan-rakannya tiba ke jeti pada keesokan harinya.

“Katanya, berdasarkan cerita orang-orang tua, puncak Pulau Lasir yang menjadi punca air kepada kawasan air terjun tersebut dikatakan dihuni oleh nenek kebayan bersama dua cucunya.

“Tiga makhluk halus itu dikatakan menjaga ‘harta karun’ yang kononnya tersimpan di pulau terbabit dan mereka kurang senang kehadiran pengunjung yang ramai,” ujarnya.

Ujar Mira lagi, pengendali bot laju itu begitupun sempat berpesan tiada apa yang perlu dibimbangkan jika kita tidak berniat buruk dan menjaga adab sepanjang beriadah di Air Terjun Lasir.

Dalam pada itu, empat kes kematian disebabkan lemas yang melibatkan pengunjung Tasik Kenyir sewaktu berkelah di kawasan Air Terjun Lasir dalam tempoh enam tahun sejak 2015 turut dikaitkan dengan mitos nenek kebayan tersebut.
————————————————————————————————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN