PETALING JAYA – Malaysia bakal mencipta sejarah dalam dunia perubatan apabila membangunkan vaksin kanser payudara pertama di dunia, sekali gus mampu mencegah barah yang menjadi pembunuh nombor satu wanita di negara ini.
Jika berjaya, vaksin itu tidak mustahil diberikan kepada golongan muda bagi mengurangkan risiko menghidap kanser itu.
Kanser payudara merupakan antara 10 kanser utama yang dihidapi rakyat negara ini.
Ketika ini, pasukan penyelidik tempatan yang diketuai Dr. Fazren Azmi dari Fakulti Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang dalam peringkat akhir menyiapkan vaksin itu.
Penyelidik lain yang terlibat adalah Prof. Datin Paduka Dr. Khatijah Yusoff (Universiti Putra Malaysia), Dr. Lim Kue Peng (Cancer Research Malaysia), Dr. Ng Pei Yuen (Fakulti Farmasi UKM) dan Dr. Nadiah Abu (Institut Biologi Molekul Perubatan UKM).
Penyelidikan itu dibiayai oleh Skim Geran Penyelidikan Fundamental daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
Dr. Fazren berkata, vaksin dibangunkan mereka adalah berasaskan ‘peptida’ iaitu imunisasi antigen yang diformulasikan bersama nanopartikel diselaputi membran sel kanser.
Katanya, ia bertindak sebagai adjuvan dan platform penghantar vaksin.
“Proses membangunkan vaksin sangat mencabar, memerlukan masa panjang dan kos tinggi.
“Bagaimanapun, ia tidak mustahil untuk dilaksanakan malah kajian ini juga boleh dijadikan batu loncatan untuk Malaysia membangunkan vaksin bagi penyakit lain,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, kanser payudara adalah ketumbuhan membawa maut yang terjadi daripada tindakan sel bermula dari bahagian payudara yang berkembang melalui proses pembahagian melebihi kadar keperluan organ sebelum menyerang organ serta tisu-tisu berhampiran.
Sementara itu, penyelidik pascasiswazah kedoktoran dari Fakulti Farmasi UKM, Dr. Muhammad Luqman Nordin berkata, kajian ke atas tikus makmal telah menunjukkan kesan positif.
“Vaksin itu merangsang penghasilan antibodi dan sel T sitotoksik lalu mengekang pembiakan sel barah serta memanjangkan jangka hayat tikus yang dijangkiti kanser payudara.
“Ujian ketoksikan menunjukkan vaksin ini juga selamat digunakan,” katanya.

Tambahnya, kaedah merawat kanser payudara sedia ada adalah menyakitkan seperti rawatan kemoterapi serta berisiko dijangkiti semula pada masa hadapan.
“Penghasilan vaksin adalah untuk mengurangkan risiko mendapat kanser tersebut.
“Kanser payudara adalah bersifat berulang jadi dengan adanya vaksin ini, risiko dijangkiti dan pengulangan adalah hampir tiada,” ujar beliau.
















