fbpx

Sape Kata ilham jatuh bangun SonaOne

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAT bercinta belum berakhir dengan kemanisan. Sedar dengan situasi tersebut, SonaOne harus mengambil langkah untuk ‘move on’ dan menjadi lebih kuat, kerana itu sahaja pilihan terbaik yang ada buat mana-mana individu yang putus cinta.

PENGALAMAN jatuh bangun dalam kehidupan sendiri dan orang sekeliling sering menjadi terjemahan setiap insan seni dalam penghasilan sesebuah karya.

Pengalaman tersebut juga antara yang dikongsikan jejaka kacukan Melayu-Perancis dengan nama penuh, SonaOne atau nama sebenarnya, Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach menerusi lagu Sape Kata, karya bersama sahabatnya, Wolfy.

Dicetuskan pada era pandemik, lagu dan liriknya nukilan SonaOne sendiri bersama Axel Jonas itu dirakamkan sekitar Julai tahun lalu.

Ditanya apakah idea penghasilan karya berkenaan lebih tepat mengenai pengalaman kisah cinta sendiri, SonaOne yang mula melangkah ke arena seni pada 2010 dilihat memberi jawapan selamat.

“Jawapan kepada soalan apakah karya itu cetusan ilham kisah cinta sendiri, boleh jadi ya… atau sebaliknya.

“Semua terpulang kepada apa juga interpretasi atau tafsiran masing masing. Namun jelas bersifat peribadi.

“Tapi tak dinafikan ada input dan ilham itu datang daripada pengalaman sendiri. Namun saya melihat lagu ini daripada cerita umum atau adat berkasih sayang yang akan berlaku salah faham dan jiwa kacau.

“Lagu itu berdasarkan pengamatan saya mengenai pelbagai cerita dialami ketika Covid-19 menjelma. Ramai teman saya sendiri putus cinta kerana kekurangan sisi komunikasi,” katanya yang kali terakhir muncul dengan single solo Bomba tahun lalu.

Lagu gabungan pop R&B dan hip-op tersebut sudah pun dilancarkan di semua platform digital pada 12 November lalu.

“Lagu Sape Kata banyak bermain dengan perasaan dalaman ditambah dengan emosi bercelaru. Malah memang sengaja perkataan siapa dieja seperti bahasa pasar sebagai ‘sape’.

“Lagu ini menggunakan bahasa Malaysia dan Inggeris. Pendek kata lagu ini barangkali dekat dengan sesiapa saja yang pernah melalui plot hubungan penuh dramatik,” katanya.

Cinta tak sampai

Pemenang Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) menerusi lagu Apa Khabar dendangannya bersama Joe Flizzow itu menambah, Sape Kata turut menyingkap penilaian diri yang menjurus ,kepada konsep konflik diri dan keraguan terhadap emosi.

“Penilaian akan datang ketika tahap emosi itu sudah tak mampu dibendung lagi terutama tiada komunikasi terjalin di antara satu sama lain.

“Lagu ini mewakili satu rasa yang tidak selesa apabila dibelenggu hal yang meresahkan dalam kotak minda pasangan kekasih. Malah pada masa sama berperang dalam hati mempersoalkan itu ini yang pada akhirnya tidak memberi jawapan pasti.

“Perasaan sebegitu boleh jadi seperti penyakit bipolar (atau kecelaruan dwikutub) sejenis penyakit mental yang menyebabkan perubahan emosi, tingkah laku dan pemikiran. Ia seperti garis pemisah antara sikap yang memusnahkan dan kebencian terhadap diri,” katanya.

Tambah SonaOne lagi, adat dalam bercinta belum tentu berakhir dengan kemanisan.

“Bercinta bagai nak rak, berkorban perasaan dan macam macam lagi tak pernah menjadi jaminan akan kekal. Hal sama boleh diadaptasi dalam kehidupan. Terjemahan rasa yang terjerut itu juga divisualkan dalam video muzik lagu arahan ATG dan saya sendiri.

“Namun pada akhirnya hidup kena diteruskan. Kena ‘move on’. Menjadi kuat adalah pilihan yang ada. Untuk ‘move on’, kadang kadang amat perlu untuk melupakan kisah silam,” katanya.

Menutup bicara, jejaka yang pernah tampil dengan dua album studio, Growing Up Sucks pada 2016 dan Detail (2019) ini juga sempat diusik dengan kisah cintanya yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini.

Biarpun tidak pernah mendedahkan kisah cintanya secara terbuka, namun ada yang menghidunya.

Dia pernah mengeluarkan kenyataan akan mengumumkan perancangan berkahwin dengan gadis yang masih rahsia lagi identitinya. Bagaimanapun cerita itu bagai berlalu sepi, bagaikan sudah bernoktah.

“Saya mahu ‘move on’. Saya anggap tak ada jodoh dengannya. Tak semua yang kita dambakan akan berakhir seperti sebuah kisah dongeng,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI