PUTRAJAYA – Rokok elektronik atau vape bakal menjadi fenomena ketagihan baharu kerana laporan kajian ilmiah dilakukan beberapa pihak menunjukkan lebih sejuta orang atau 4.9 peratus invidu menjadi pengguna tegar alat peranti tersebut di Malaysia.
Jumlah itu dikeluarkan dalam laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2019. Ia menunjukkan peningkatan ketara berbanding 600,000 atau bersamaan 3.2 peratus sahaja pada 2016.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, lebih membimbangkan kerana pengguna vape kini menular dalam kalangan remaja yang rata-ratanya terpengaruh dengan rakan atau iklan di kedai-kedai dan laman sosial.
Katanya, pengguna vape bakal berdepan komplikasi penyakit kerana reaksi bahan kimia yang digunakan sebagai campuran di dalam cecair perisa boleh menjejaskan sel badan manusia.
“Vape bukanlah alternatif lebih selamat sebaliknya terbukti memudaratkan kesihatan. Laporan Systematic Review oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2020 menyatakan, terdapat banyak kesan sampingan akibat proses pemanasan dan penyedutan cecair rokok elektronik ke dalam paru-paru.
“Kesan pemanasan itu bukan sahaja disebabkan oleh nikotin malahan juga disebabkan oleh bahan kimia lain seperti Propylene Glycol, Vegetable Glycerin dan bahan perisa yang dikelaskan sebagai ‘selamat’ untuk dimakan tetapi tidak jika digunakan bagi tujuan merokok,” katanya kepada Kosmo!.


Tambahnya, tambah serius apabila penghisap vape masih gagal berhenti merokok sebaliknya akan meningkatkan jumlah dwipengguna iaitu konvensional dan elektronik selain menggalakkan pengguna baharu dalam kalangan remaja.
Menurut Dr. Zainal Ariffin, ketika ini timbul keraguan adakah vape dapat membuatkan orang berhenti merokok atau menjadi satu bentuk ketagihan baharu.
“Kita bimbang ia menjadi ‘pintu’ kepada masalah merokok dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pula. Kita boleh lihat ketika ini remaja begitu bangga menggantung pod vape di leher mereka tanpa segan silu,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan perlu mengkaji lebih mendalam sebelum membenarkan industri itu bertapak di negara ini kerana akan membawa kepada bentuk ketagihan baharu.
“Kajian penyelidik Universiti Teknologi Malaysia pada 2020 mendapati cecair vape akan menghasilkan sebatian berbahaya digelar ‘toxic intermediates’ yang boleh memberikan kesan sampingan kepada paru-paru.
Dalam pada itu katanya, sebarang persediaan produk yang mengandungi nikotin termasuk cecair rokok elektronik adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952.
Hal ini kerana, jelasnya, nikotin merupakan racun terkawal yang boleh menyebabkan pelbagai kesan kepada kesihatan termasuk ketagihan dan kebergantungan.
“Ini bererti penjualan sebarang produk atau persediaan yang mengandungi nikotin hanya boleh dibuat melalui ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar. Sebagai contoh pengganti terapi nikotin yang digunakan untuk tujuan berhenti merokok.
“Bagaimanapun, sebelum didaftarkan sebagai rawatan, ia perlu melalui proses ujian klinikal bagi membuktikan sebarang persediaan yang mengandungi nikotin benar-benar membantu mereka yang mengalami masalah berhenti merokok atau tidak,” katanya.
‘Bukan senang nak berhenti, jenis perisa buat lebih gian’
PUTRAJAYA – Sering kali pengguna vape memberikan alasan bahawa mereka menggunakan rokok elektronik tersebut kerana mahu berhenti merokok.
Bagaimanapun, ia bukanlah semudah yang disangkakan kerana tabiat merokok itu tetap ada, cuma mediumnya sahaja berbeza.
Perkara itu diakui seorang pengguna vape, Kamaruddin Mohd. Isa, 31, yang mengakui dia mula menghisap vape sejak lima tahun lalu kerana berniat untuk berhenti merokok.
Bagaimanapun katanya, tabiat itu menjadi rutinnya sebagaimana yang berlaku dengan rokok konvensional kerana dia begitu sukar untuk berhenti.
“Pada mula saya sangkakan mudah untuk berhenti menghisap vape tetapi apabila sedar tak sedar, sudah lebih lima tahun saya menjadi pengguna rokok elektronik itu.
“Sekarang saya dalam proses untuk berhenti menggunakannya, tetapi sama seperti ketagihan rokok, ia bukanlah suatu mudah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Mohd. Zaidi Mohd. Yunus, 34, pula, dia menghisap vape bukan kerana mahu berhenti merokok, namun kini telah menjadi pengguna tegar.
“Saya suka menghisap vape kerana perisanya yang sedap dan ada rasa buah. Kawan-kawan pun ramai juga yang menggunakannya, terutama pod vape.
“Tidak ramai kawan saya yang guna vape sebab nak berhenti merokok kerana kebanyakan mereka memang sudah bermula dengan alat itu,” katanya.
Dalam pada itu, Abd. Latif Rosly, 32, berkata, dia bertukar daripada menggunakan rokok kepada pod vape kerana mahu menjimatkan wang.
“Biasanya rokok sekotak yang harganya sekitar RM17 hanya mampu bertahan selama dua hari. Berbeza dengan vape, saya boleh dapatkannya dalam harga RM15.
“Kalau mahal sedikit pun sekitar RM20 tetapi itu tak memberikan saya masalah, kerana kos menggunakan vape ini mampu bertahan sehingga seminggu lamanya,” katanya. -K! ONLINE
















