MELAKA – Seorang bapa tunggal empat anak dari Kampung Padang di sini tidak menyangka mendapat ‘durian runtuh’ selepas ditawarkan untuk membeli sebuah motosikal pada harga RM1 oleh seorang individu berhati mulia.
Lelaki bertuah itu, Nurazam Ahmad, 32, berkata, tawaran luar biasa untuk membeli motosikal itu seolah-olah memberi sinar baharu kepada kehidupannya selepas terpaksa berkongsi kenderaan dengan keluarga lain ketika keluar mencari rezeki.
Katanya, dia sebelum ini hanya menggunakan motosikal milik bapanya dan kadangkala terpaksa membawa kesemua anak-anaknya yang masih kecil di atas kenderaan itu untuk ke tempat kerja.
“Saya hanya mengambil upah membuat kerja-kerja kontraktor serta menanam sayur, namun kadangkala lokasi agak jauh dan saya pula terpaksa menunggu giliran menggunakan motosikal bapa untuk bergerak.
“Bagaimanapun, seorang kakak saya ada terlihat iklan di Facebook mengenai niat murni individu yang ingin menjual sebuah motosikal pada harga RM1 kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Kakak kemudian maklumkan kepada saya mengenai motosikal RM1 berkenaan dan saya mencuba nasib untuk membeli kenderaan itu dan berharap ada rezeki buat anak-anak yang masih kecil yang berusia empat hingga sembilan tahun,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Nurazam, rezeki akhirnya memihak kepadanya selepas dipilih untuk membeli motosikal jenis Suzuki Smash daripada seorang individu di negeri ini.
Dalam pada itu, Shikh Muhammad Makhdad yang hadir menyampaikan kenderaan tersebut berkata, harga RM1 itu hanyalah simbolik sebagai tanda menjual motosikal kepada Nurazam.
“Motosikal ini diberikan oleh penyumbang untuk individu yang amat memerlukannya bagi meringankan beban, apatah lagi dalam keadaan kita bergelut dengan cabaran kesan Covid-19.
“RM1 itu hanyalah simbolik urusan jual beli untuk Nurazam. Walaupun ramai juga yang ingin membeli motosikal ini pada harga jauh lebih mahal, namun niat penyumbang adalah untuk membantu insan memerlukan,” katanya. -K! ONLINE















