PUTRAJAYA – Kos rawatan serta pembedahan yang murah antara keistimewaan yang ditawarkan doktor-doktor haiwan palsu untuk menarik minat pemilik haiwan peliharaan memilih perkhidmatan mereka.
Contohnya, kos untuk proses pemandulan haiwan seperti kucing mencecah sehingga RM250 seekor di klinik veterinar swasta, namun jika dilakukan dengan doktor haiwan palsu, caj yang dikenakan tidak sampai RM200.
Malah, doktor-doktor palsu terbabit juga menyediakan perkhidmatan di rumah pelanggan dan tiada sebarang janji temu yang diperlukan.
Bagaimanapun, khidmat yang ditawarkan individu tidak mempunyai kelulusan perubatan veterinar itu boleh mengancam nyawa haiwan peliharaan terutama kucing apabila berlaku jangkitan atau kesan sampingan sehingga mengakibatkan kematian.
Doktor veterinar, Dr. Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali mendedahkan, beliau pernah menerima banyak kes haiwan peliharaan terutama kucing yang mengalami kesan teruk selepas dirawat atau dibedah oleh doktor haiwan palsu atau ‘bogus veterinarian’.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang sering ditawarkan seperti pembedahan serta rawatan biasa untuk penyakit selesema, sakit mata dan kurap.
“Namun, jika keadaan haiwan itu tidak bertambah baik atau semakin teruk selepas dirawat doktor palsu, pemiliknya akan membawa kucing mereka kepada kami.
“Malah, ada kes yang kami terima sampai usus kucing terkeluar selepas dihantar kepada doktor haiwan palsu dan perlu menjalani pembedahan semula. Kami pun tak pasti bagaimana keadaan itu boleh berlaku,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dr. Salehatul Khuzaimah berkata, apabila haiwan tersebut dihantar kepada individu yang tidak mempunyai kelulusan perubatan veterinar, diagnosis yang dijalankan mereka adalah tidak tepat sekali gus memburukkan lagi keadaan haiwan yang sedang dirawat.
“Dalam kes-kes tertentu, setelah kami melakukan pemeriksaan terhadap haiwan yang dihantar ke klinik, rawatan yang diberikan doktor haiwan palsu didapati tidak tepat, jadi ubat yang disediakan juga tidak kena dengan keadaan sakit haiwan tersebut,” ujarnya.
Beliau yang berkhidmat sebagai doktor veterinar kira-kira 12 tahun berkata, beliau difahamkan khidmat rawatan itu disediakan oleh pemilik kedai haiwan atau individu yang pernah berkhidmat di klinik veterinar, tetapi bukan seorang doktor haiwan.
Katanya, beliau pernah cuba menyelamatkan banyak kucing yang mengalami jangkitan atau kesan teruk selepas melalui pembedahan pemandulan di sebuah kedai haiwan yang popular suatu masa dahulu.
“Bagaimanapun, hanya 50 peratus daripada kucing tersebut dapat diselamatkan, manakala yang lain mati kerana keadaan haiwan itu sangat teruk,” katanya.
Dr. Salehatul Khuzaimah memberitahu, beliau juga pernah menerima pertanyaan daripada beberapa pemilik haiwan peliharaan sama ada boleh menjalankan pembedahan kembiri atau pemandulan di rumah sahaja.
Namun katanya, perkhidmatan itu tidak disediakan, sebaliknya mereka perlu membawa kucing ke klinik yang dilengkapi pelbagai kemudahan perubatan veterinar.
“Ada pemilik haiwan yang mendakwa, seseorang individu yang mengaku doktor haiwan pernah menawarkan khidmat tersebut di rumah sahaja,” katanya.
Dr. Salehatul Khuzaimah juga mempersoalkan bagaimana doktor veterinar tidak bertauliah begitu mudah mendapatkan ubat-ubatan yang tidak boleh dijual sesuka hati.
Katanya, ubat-ubatan tersebut perlu disertakan Sijil Perakuan Pendaftaran Tahunan (APC) kepada pembekal untuk mendapatkannya.
“APC ini pula mesti diperbaharui setiap tahun dan apabila tamat tempoh, ada pembekal ubat sangat tegas dan menunggu sehingga APC yang baharu diperbaharui.
“Semua klinik veterinar juga wajib memaparkan APC tersebut dan menjadi hak pemilik untuk memastikan haiwan peliharaan dirawat oleh individu yang bertauliah,” ujarnya.















