SETIAP daripada kita pasti ada barangan yang disukai dan sanggup berhabis ratusan ringgit semata-mata untuk memilikinya.
Begitu juga barangan yang diperbuat daripada kulit yang ada penggemar tersendiri disebabkan beberapa faktor termasuk tahan lasak, pelengkap gaya, selain memberikan nilai eksklusif tersendiri.
Antara barangan tersebut adalah tali pinggang, capal, dompet, beg silang, beg bimbit, rantai kunci dan sarung telefon bimbit yang ditempah khas kekal mempunyai penggemar tersendiri.
Selain itu, penggunaan laman sosial seperti Instagram, Facebook dan TikTok turut digunakan untuk tujuan promosi dan melariskan jualan barangan kulit.
———————————————————————————————————————————
AKSESORI berasaskan kulit bukan sahaja dikatakan sebagai pelengkap gaya, bahkan mampu menonjolkan nilai eksklusif seseorang.
Aksesori kulit juga dilihat menyerlahkan karakter unik si pemakai.
Tidak hairanlah permintaan terhadap pelbagai barangan kulit seperti tali pinggang, capal, dompet, beg silang, beg bimbit, rantai kunci dan sarung telefon bimbit yang ditempah khas kekal mempunyai penggemar tersendiri.
Bagi Azmi Jaafar, 46, pengalamannya sebagai pembuat barangan kulit sejak 24 tahun lalu menjadi punca rezeki untuk dia sekeluarga.
Mengimbau kerjayanya itu, Azmi yang turut menyediakan kelengkapan barangan kulit untuk Unit Berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengakui pelbagai cabaran sudah didepani demi menguasai kemahiran pembuatan produk berasaskan kulit.
“Minat terhadap barangan kulit ini bermula dari bangku sekolah lagi, namun kemahiran yang diperolehi bermula dengan bimbingan abang angkat saya, Mohammed Nasir Mohammed Noor.
“Beliau berperanan sebagai mentor dan banyak mengajar saya mengenai seni barangan kulit, kaedah pemotongan dan jahitan yang perlu dikuasai untuk menghasilkan produk yang berkualiti,” katanya ketika ditemui Panorama di premisnya di Kompleks Bagan, Butterworth di Seberang Perai, Pulau Pinang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azmi yang mesra disapa Mamu Bro berkata, menerusi bantuan mentornya itu, dia juga berpeluang mengikuti kursus pembuatan barangan kulit gaya pos oleh The Leather Crafters Journal yang berpangkalan di Wisconsin, Amerika Syarikat pada tahun 1996.
“Berpandukan modul manual yang diberikan, saya mempelajari teknik mengukur, memotong, menebuk dan menjahit dengan lebih terperinci.
“Waktu itu belum wujud lagi kursus dalam talian, malah penggunaan internet juga masih terhad, maka kelas gaya pos yang diikuti inilah memberi pelbagai ilmu yang diperlukan untuk meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan dengan tangan,” katanya.

Antara kenangan lucu yang tidak dapat Azmi lupakan sepanjang mengejar ilmu itu adalah saat berdepan kesukaran selepas pita video (VHS) yang dibeli dari luar negara tidak dapat digunakan.
“Bayangkan berbulan-bulan saya terpaksa berbalas surat dengan pihak pengeluar apabila mendapati pita video yang dibeli dengan harga hampir AS$200 (RM831) gagal dimainkan menggunakan pemain VCR sedia ada.
“Rupa-rupanya format pita video luar negara berbeza dengan pita video tempatan, malah saya terpaksa mengeluarkan belanja untuk membeli pemain VCR jenama tertentu seperti yang disarankan pengeluar.
“Lebih lucu lagi apabila katalog rujukan yang didatangkan bersama pakej pita video itu terkandas di pejabat kastam kerana kandungannya meragukan ekoran penuh dengan gambar model yang memperagakan barangan kulit dengan pakaian mencolok mata,” katanya.
Tambah Azmi, penglibatannya secara serius dalam jahitan barangan kulit bermula pada tahun 1997 apabila kilang tempat dia bertugas sebagai juruteknik terpaksa ditutup ekoran kegawatan ekonomi.
“Sejak itu, saya mengambil pelbagai tempahan barangan kulit mengikut cita rasa pelanggan dan berbekalkan ilmu dan kreativiti yang ada, syukurlah perniagaan yang dijalankan mampu bertahan sehingga hari ini.
“Setakat ini, tali pinggang kulit adalah aksesori yang mendapat permintaan tertinggi dan saya boleh siapkan dalam 40 sehingga 50 keping dalam sehari.
“Selain itu, ramai pelanggan turut menempah capal untuk digayakan terutamanya pada musim perayaan,” katanya.

Ulas Azmi, kulit lembu, kerbau dan kambing yang diperoleh daripada pengeluar di Tanjung Malim, Perak adalah elemen utama yang diperlukan dalam menghasilkan produknya.
“Kulit haiwan yang digunakan amat berkualiti menyebabkan produk yang terhasil sememangnya tahan lasak dan mampu digunakan dalam jangka masa lama.
“Sebagai contoh, tali pinggang kulit yang dipakai setiap hari mampu bertahan sekurang-kurangnya 12 tahun sekali gus amat menepati pepatah alah membeli menang memakai,” katanya.
Katanya, kebangkitan anak-anak muda yang mempertahankan busana tradisional Melayu melonjakkan lagi permintaan capal di pasaran.
“Kita dapat lihat trend mengenakan persalinan tradisi semakin berkembang dalam kalangan belia dan capal di kaki menjadi pelengkap busana.
“Capal tidak lagi sinonim apabila tiba musim perayaan atau perkahwinan semata-mata, malah boleh digayakan bila-bila masa dengan apa jua pakaian kerana sangat ringan dan selesa.

“Sebenarnya penggunaan capal adalah bersifat uniseks iaitu boleh dipakai baik lelaki mahupun wanita, cuma reka bentuk bagi wanita lebih feminin dan bahagian tapaknya sedikit tinggi berbanding capal lelaki,” katanya.
Sejajar dengan perkembangan teknologi, ternyata Azmi tidak mahu ketinggalan dan menggunakan segala platform yang ada untuk mempromosikan produk yang dihasilkan.
Katanya, akaun Facebook, Instagram, Tik Tok dan Telegram menjadi platform untuk mempromosi selain berkongsi pengetahuan yang dimiliki bersama pengikut dan peminat barangan kulit.
“Sejujurnya, saya bersedia untuk mengajar sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari teknik pembuatan produk.
“Saya mahu galakkan anak-anak muda terutamanya orang kurang upaya (OKU), kakitangan kerajaan yang bersara awal mahupun golongan yang diberhentikan kerja ketika pandemik kerana bidang ini mampu menjana pendapatan.
“Justeru, saya kini melakukan persiapan untuk melancarkan kursus asas pembuatan barangan kulit secara dalam talian untuk berkongsi ilmu yang dimiliki dengan mereka yang berminat,” katanya.















