fbpx

5 didakwa tipu syarikat pembekal lebih setengah juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
5 tertuduh ketika dibawah ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik syarikat alat ganti kenderaan dan empat pekerjanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu syarikat pembekal alat ganti dengan kerugian RM630,200 membabitkan perbankan berjadual atau ‘Inter Bank Giro’ (IBG) sejak Mac lalu.

Kelima-lima tertuduh iaitu Ng Chong Chai, 60 selaku pemilik Syarikat Ban Heng Auto Part bersama Lai Wei Kiat, 23; Lee Juan Sheng, 24; Leong Yue Long, 25 dan Tan Wai Teck, 26 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibaca di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menipu Syarikat Vanli Auto Spares Sdn. Bhd. dengan menyerahkan resit pembayaran berjadual (interbank giro).

Ia bagi mempercayai bahawa pembayaran dibuat sehingga mendorong syarikat itu menyerahkan barangan alat ganti kenderaan kepada Syarikat Ban Heng Auto Part berjumlah RM630,200 secara berperingkat yang mana syarikat pembekal itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Batu 3, Jalan Ipoh pada 8 Mac hingga 12 Ogos lalu dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Sekyen 34 akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 bagi setiap seorang tertuduh.

Bagaimanapun, peguam, Muhammad Amin Abdullah yang mewakili Chong Chai, Wei Kiat, Juan Sheng dan Tan Wai Teck manakala Johan Radzi bagi pihak Yue Long, memohon agar anak guam mereka diberi ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan mempunyai masalah kesihatan, tidak berkemampuan dan perlu menyara keluarga.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Kamarudin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan passport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan semula kes.

KOSMO! Online 28 September lalu melaporkan tindakan satu sindiket menipu pembekal dan peniaga alat ganti kenderaan dengan menggunakan slip pembayaran perbankan berjadual atau ‘Inter Bank Giro’ (IBG) tidak berpanjangan apabila diserbu pihak polis Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki yang mendakwa telah ditipu dalam urusan pembelian barangan alat ganti kenderaan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI