PETALING JAYA – Siapa yang mampu menahan marah apabila kontraktor yang diupah bukan sahaja gagal untuk menyiapkan projek pembinaan atau pengubahsuaian rumah, malah lesap bersama duit bayaran bernilai puluhan ribu ringgit.
Di George Town, hasrat pasangan suami isteri untuk tinggal dalam suasana kediaman berkonsepkan moden kontemporari di Bayan Baru terbantut apabila tukang rumah warga ‘Seberang’ dilaporkan lesap tanpa sebarang khabar berita sehingga hari ini.
Individu atau ‘kepala kontrak’ berusia 50-an itu hanya sempat mengubah suai separuh daripada bahagian dalaman rumahnya.
Nur Shahida Ismail, 38, berkata, kejadian berlaku pada penghujung tahun lalu apabila mereka mahu mengubah suai keseluruhan kediaman baharu dengan anggaran kos RM65,000.
“Saya mengenali kepala kontrak itu daripada beberapa kenalan yang pernah mendapatkan khidmat mereka. Kami bersetuju dengan sebut harga yang ditawarkan selain meneliti pengalamannya lebih 30 tahun termasuk pernah mengubah suai rumah artis di negara asal.
“Harganya juga jauh lebih murah berbanding kontraktrok tempatan sekitar RM80,000 hingga RM100,000,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, sebagai permulaan, sebanyak RM5,000 telah diserahkan kepada tukang itu pada hujung tahun lalu untuk kos pembelian bahan binaan, upah dan reka bentuk serta pembayaran RM10,000 sebanyak enam kali dalam tempoh dua bulan.
“Tempoh pengubah suai diambil hampir lima bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dia juga ada memberi alasan terpaksa menyiapkan tiga buah lagi rumah pelanggan lain.
“Selepas bayaran RM65,000 telah selesai dilakukan sedangkan kerja belum siap sepenuhnya, kepala kontrak itu lesap.
“Sedih tengok keadaan rumah yang terbengkalai di bahagian depan dan ruang makan, saya terpaksa guna duit i-Sinar sebanyak RM10,500 untuk menampung kos ubah suai itu dengan mendapatkan khidmat kontraktor tempatan pada Mac lalu,” ujar.
Di Alor Setar, seorang penjawat awam kecewa apabila ditipu seorang kontraktor yang menghilangkan diri sebelum sempat menyiapkan kerja-kerja pengubahsuaian tandas rumahnya awal tahun ini.

Menurut mangsa yang mahu dikenali sebagai Aishah, 30, dia mengenali kontraktor tersebut daripada seorang kenalan.
Dia menggunakan wang simpanan hampir RM10,000 untuk membayar kontraktor terbabit.
“Namun, apa yang berlaku sebaliknya apabila kontraktor itu datang sehari sahaja dengan anggaran kerja kurang 10 peratus sebelum lesap,” katanya.
Di Seri Iskandar, pengalaman ditipu individu membaiki cermin pintu gelangsar memberi pengajaran kepada Irwan Junaidy Mohamed Ramli, 42 untuk lebih berhati-hati.
“Pada tahun lalu, cermin pintu gelangsar rumah saya pecah dan saya kemudian mencari kontraktor di Facebook.
“Kemudian ada seorang lelaki mendakwa dia kontraktor, jadi saya pun memanggil dia datang ke rumah untuk melihat keadaan cermin yang pecah,” katanya.
Irwan Junaidy berkata, individu terbabit meminta wang pendahuluan sebanyak RM250.
Bagaimanapun, selepas menerima wang tersebut, lelaki terbabit terus berdiam diri dan tidak menjawab panggilan.
“Masa itu saya sedar sudah ditipu kerana selepas tempoh dua minggu dijanjikan lelaki itu sudah tidak boleh dihubungi,” ujarnya.
















